Proton Iriz R5 pertahan kejuaraan di Rally Stage Goodwood!

3337

Seperti dijangka, Proton Iriz R5 muncul juara buat kali ketiga berturut-turut dalam acara Rally Stage di Goodwood Festival of Speed (FOS) 2019.

Jentera binaan Mellors Elliot Motorsport (MEM) yang dipandu oleh Oliver Mellors dengan juruarah Ian Windress ini memakai livery perlumbaan berwarna oren dengan grafik Jaipur kerana ia telah menerima tajaan dari pengeluar minuman beralkohol Thornbridge Brewery.



Ia juga tidak lagi menggunakan nombor pendaftara PRO7 TON semasa dalam konfigurasi prototaip seperti sebelum ini, sebaliknya kini menggunakan nombor pendaftaran YN19 GFG setelah menerima homologasi penuh FIA pada Mac lepas.

Proton Iriz R5 mula membuat kemunculan di Goodwood FOS pada 2017 dan telah muncul juara semasa kemunculan pertamanya. Ia terus mempertahankan kejuaraannya pada 2018 dan tahun ini.

Jentera ini dikuasakan oleh enjin 4B11T dari Mitsubishi Evo X yang dikurangkan sesarannya kepada 1.6-liter (untuk melayakkannya diiktiraf dalam kategori R5). Iriz ini juga mendapat transmisi dari Xtrac dan sistem pacuan semua roda.

Proton Iriz R5 ini juga unik kerana ia merupakan satu-satunya R5 yang diluluskan dalam format pemanduan stereng kiri (LHD) dan kanan (RHD).

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here