Sambil dunia mengucapkan selamat tinggal kepada Volkswagen Beetle tahun ini, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) memperkenalkan Beetle Collector’s Edition sebagai penghormatan, eksklusif untuk pasaran Malaysia.
Ia ditawarkan pada harga RM164,390 (tanpa insurans) dan terhad kepada 75 unit sahaja. Pembeli boleh memilih Beetle edisi akhir ini dalam beberapa warna iaitu Blue Silk, Pure White, Habanero Orange dan Tornado Red.
Beetle Collector’s Edition ini datang dengan pakej aksesori bernilai sehingga RM12,000. Ini termasuklah spoiler belakang, filem dekoratif, hujung ekzos krom, pedal sports aluminium, pemijak kaki, VW Tint dan emblem yang menunjukkan nombor produksinya.
Kesemua 75 pemilik juga akan menerima sijil khas pemilikan rasmi Collector’s Edition.
Secara mekanikal, Beetle ini mengekalkan konfigurasi enjin 1.2-liter TSI empat-silinder turbo yang menghasilkan 103hp pada 5,000rpm dan 175Nm tork pada 1,550rpm. Kuasa dihantar ke roda depan melalui transmisi dwi-klac 7-kelajuan.
Menurut Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter, “Apa jua perkara baik perlu ada penamatnya, samalah seperti model terlaris di peringkat global ini. Beetle sememangnya menikmati sejarah yang kaya di Malaysia, ia dipasang di Shah Alam pada tahun 1968. Malah, ramai rakyat Malaysia yang membesar dengan pengalaman bersama kereta yang disukai ramai ini.”
“Tidak ada kereta yang berjaya mencipta pengikut dan memberi definisi kepada banyak generasi seperti yang dilakukan oleh Beetle. Ini merupakan pengakhiran sebuah era, jadi kita harus meraikan kehidupan dan zaman kegemilangan Beetle dengan sesuatu yang benar-benar istimewa iaitu Collector’s Edition.”
Menjadi satu ikon reka bentuk dan objek ikutan ramai, Beetle yang memenangi anugerah telah menawan hati serta minda orang ramai selama 80 tahun ia diproduksi.
Direka oleh Ferdinand Porsche pada tahun 1938, lebih 21.5 juta unit telah dijual di seluruh dunia, sekali gus menjadi antara kereta paling laris dalam abad ke-20. Selepas tiga generasi, Volkswagen mengumumkan bahawa ia akan menghentikan produksi Beetle.
Ia telah membuat kemunculan dalam banyak bentuk budaya pop – sebagai Bumblebee original, sebagai Herbie si Love Bug dan kereta pilihan Elle Wood dalam filem ‘Legally Blonde’.
Karya popular artis Andy Warhol turut menampilkan Beetle, selain Beetle berwarna putih yang dipaparkan pada kulit album terakhir Beatles, Abbey Road.
Pelancaran Collector’s Edition Beetle merupakan sebahagian daripada kempen Bye Bye Beetle Volkswagen yang diadakan sempena acara Perhimpunan Ikonik pada 13 Julai di Putrajaya.
Di sana, Volkswagen akan cuba untuk memecahkan rekod perhimpunan Beetle paling besar di Malaysia di satu lokasi. Ia menjemput semua pemilik Beetle klasik dan model terkini untuk sama-sama menyertai usaha tersebut.
Semua model Volkswagen, termasuk Beetle hadir dengan penyelengaraan percuma selama tiga tahun, jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama lima tahun. Untuk maklumat lanjut, layari laman web: www.volkswagen.com.my