Hampir sukar dipercayai. Chevrolet Corvette generasi kelapan didedahkan, kini menampilkan konfigurasi enjin-tengah untuk menyaingi pesaing seperti Porsche dan Ferrari.
Semenjak versi pertama model dua tempat duduk itu dilancarkan pada 1953, Corvette telah menggunakan konfigurasi FR iaitu enjin depan, pacuan roda belakang. Namun enjin V8 6.2-liter pada C8 ini terletak di belakang pemandu buat pertama kali.
Mark Reuss, presiden Ceneral Motors berkata, “konfigurasi enjin depan tradisional itu telah mencapai had prestasinya, menyebabkan perlunya konfigurasi baharu ini.”
Dia menambah: “Dari segi keselesaan dan keseronokan, ia masih berupa dan berasa seperti Corvette, tetapi pemanduannya lebih baik dari mana-mana Corvette dalam sejarah.”
Model asas dengan nama Stingray ini mampu mencapai 0 ke 96 km/j dalam kurang 3 saat, menjadikannya model Corvette asas terpantas.
Perubahan kepada enjin-tengah ini memanjangkan badan Corvette baharu ini sebanyak 137mm kepada 4630mm, dan jarak roda kini pada 2,723mm. Lebar pula 1,933mm, 56mm lebih dari sebelum ini. Pada 1,527kg ia juga 166kg lebih berat.
Walaupun mengekalkan beberapa elemen rekabentuk, Corvette baharu ini kelihatan lebih global, lebih seperti McLaren dan Ferrari. Zora Arkus-Duntov iaitu “bapa” Corvette pernah mencadangkan perubahan ini, dan beberapa prototaip pernah dibina, namun inilah kali pertama ianya direalisasikan.
Dengan konfigurasi MR ini, Corvette C8 menampilkan rekaan penutup cermin di bahagian enjinnya, yang kini lebih berkuasa.
Corvette C8 akan menjadi Corvette pertama yang tidak menawarkan transmisi manual, sebaliknya hanya automatik dwi-klac lapan-kelajuan.
Seperti Corvette C7, C8 Stingray ini mendapat Magnetic Ride Control, iaitu fungsi yang membolehkan suspensi dilaras dengan cepat. Terdapat juga sistem pengurusan cengkaman prestasi, berserta LSD elektronik untuk model asas ini.
Splitter depan dan dua keeping spoiler belakang bekerjasama menghasilkan sehingga 181kg downforce untuk cengkaman di selekoh.
Pembeli boleh memilih untuk pakej dengan tayar Michelin Pilot Sport ALS – yang boleh menghasilkan cengkaman selekoh sehingga 1G – atau pakej Z51 dengan tayar Michelin Pilot Sport 4S.