Hafizh Syahrin ingin mencuba bakatnya pada perlumbaan kereta tahun ini. Pihak Litar Antarabangsa Sepang (SIC) telah mengesahkan. Satu kejutan pada peminat MotoGP negara. Apa kisah sebenar?
Valentino Rossi dan Andrea Dovizioso suatu ketika dulu pernah membuat kejutan dengan menyertai acara lumba kereta. Mungkin ini langkah yang terbaik buat pelumba Negara Hafizh Syahrin.
Hafizh akan bersaing sebagai Wild Card di dalam pusingan FIA World Touring Car Championship (WTCR) dan FIM Endurance World Championship (FIM EWC) pada 14-15 Disember nanti.
“Saya mempunyai minat dengan kereta, tetapi saya tidak pernah berlatih di litar. Saya percaya persaingan akan menjadi sengit. Saya perlu belajar dengan cepat kerana saya tidak mahu menamatkan perlumbaan di kedudukan terakhir,” katanya.
Hafizh berkata, “Saya mahu mencuba sesuatu yang baru dengan WTCR seperti Andrea Dovizioso dan Valentino Rossi lakukan dulu, WTCR sangat terkenal di Eropah.”
Ujian dengan pasukan WTCR akan diadakan pada November. Hafizh Syahrin ingin mencuba bakatnya pada perlumbaan kereta dan akan berlatih dengan pemandu WTCR iaitu Mitchell, Jazman Jaafar dan Nabil Jeffri.
Bagi Kejohanan EWC, ianya satu perlumbaan yang memakan masa yang agak lama. Terdapat tiga penunggang yang berkongsi motosikal yang sama, semua penunggang mestilah konsisten semasa menunggang.
Menyentuh tentang EWC, Hafizh berkata, “Saya mempunyai idea yang lebih baik tentang apa yang perlu dilakukan berkaitan dengan EWC kerana saya pernah terlibat di Suzuka pada tahun 2017.”