20 tahun dah usia Porsche GT3 – Jom imbas sejarah dan perkembangannya

2152

Beberapa kombinasi abjad dan huruf menjadi lagenda dalam dunia automotif. Volkswagen GTI, Nissan GT-R dan Porsche GT3, sekadar menyebut beberapa sahaja.

Porsche 911 GT3 ialah satu versi rujukan untuk model perlumbaan kereta sports kelas GT yang akan disertai oleh sesebuah Porsche 911. Model 911 GT3 versi jalanan akan dikeluarkan dahulu, dan kemudian 911 GT3 Cup, 911 GT3 RSR versi perlumbaan menyusul.



Porsche 911 GT3 (996)

Nama 911 GT3 menyambut ulangtahun ke-20 tahun ini. Ia mula diperkenalkan pada 1999 untuk model 911 generasi 996 pada masa itu.

Ia membawa resepi mudah; lebih ringan, lebih berkuasa, lebih keras, dan lebih fokus untuk prestasi pemanduan. Versi 911 GT3 juga boleh didapati dengan versi lebih hardcore iaitu 911 GT3 RS, juga versi jalanan yang anda boleh beli.

Pada generasi 996, Porsche 911 GT3 diberikan perubahan seperti tayar dan rim lebih lebar serta spring lebih rendah. Enjinnya adalah unit 3.6-liter dengan 360hp.

Enjin Mezger ini direka oleh Hans Mezger, iaitu sejenis enjin dengan karakter perlumbaan. Ia menggunakan konfigurasi dry-sump yang mengelakkan minyak melimpah atau senget di dalam takungannya semasa membelok dengan kelajuan tinggi di litar.

Enjin ini dipadan dengan transmisi manual 6-kelajuan dan LSD (limited-slip differential) dari 911 GT2. Pembeda dengan LSD ini boleh diubahsuai nisbahnya mengikut keperluan litar dan pemanduan.

Terdapat juga versi Clubsport yang memberikan sangkar guling bolt-in dan flywheel lebih ringan untuk lebih tindakbalas.

996 GT3 Mk2 pula diberikan lebih kuasa dan tork iaitu 381hp dan 386Nm dan enjin dengan pemasaan injap boleh-ubah. Casis juga dikemaskini dengan brek PCCB (Porsche Ceramic Composite Brake).

Porsche 911 GT3 (997)

Generasi berikutnya tiba pada 2006 yang mengekalkan enjin flat-six 3.6-liter, tetapi telah ditingkatkan kuasa kepada 415hp di 7,000rpm dan tork puncak 404Nm pada 5,500rpm. Redline adalah pada 8,400rpm.

Dari segi casis, 997 didatangkan dengan Porsche Active Suspension management (PASM), rim lebih besar 19-inci, dan stereng hidraulik kini dengan nisbah boleh-ubah (variable ratio).

Terdapat juga butang Sport untuk ekzos lebih agresif serta pilihan pakej Clubsport dengan sangkar guling dan tempat duduk bucket penuh.

Versi facelift atau 997 Mk2 (997.2) yang dilancarkan pada 2009 pula dinaikkan sesaran enjinnya kepada 3.8-liter. Dengan ini dan VarioCam, enjinnya pada masa ini mengeluarkan 435hp dan 430Nm tork.

Transmisi masih manual 6-kelajuan, dan casis menerima sistem lif depan, serta pilihan dynamic engine mount untuk pertama kali. Ia berfungsi “melembutkan” pegangan enjin di pemanduan biasa dan “mengeraskan” pegangan enjin pada pemanduan kelajuan tinggi.

Porsche 911 GT3 generasi 996 (kiri) dan 997 (kanan).

Electronic stability control telah dipadan dengan traction control, dan rim GT3 ini mendapat centre-locking iaitu satu skru besar sahaja seperti jentera lumba.

Porsche 911 GT3 991

Generasi 991 hadir pada 2013 dan banyak perbezaan padanya. Paling ketara ialah transmisi manual diganti dengan automatik dwi-klac PDK.

Transmisi yang yang menimbulkan perbalahan di kalangan peminat ini digandingkan dengan enjin 3.8-liter suntikan bahan api yang menggantikan enjin Mezger. Output adalah 475hp pada 8,250rpm dan 440Nm tork.

Stereng juga menimbulkan kontroversi, unit stereng berkuasa elektrik menggantikan stereng hidraulik. Menurut Porsche, keputusan ini adalah untuk lebih penjimatan bahan api, tetapi mereka tetap cuba memberikan stereng elektrik itu rasa seperti hirdaulik.

Komponen lain adalah casis lebih teguh, stereng roda belakang elektro-mekanikal, rim 20-inci dan brek karbon-seramik.

Empat tahun kemudian, 911 GT3 versi 991 Mk2 (atau 991.2) kini mendengar keluhan peminat, maka transmisi manual kembali sebagai alternatif kepada automatik PDK (terima kasih, Porsche!).

Enjin flat-six pula bersesaran lebih besar pada 4.0-liter, menghasilkan 500hp pada 8,250 rpm dan 460Nm tork. Terdapat juga versi 911 R dengan rpm hingga 8,800rpm, tetapi varian GT3 mampu rev sehingga 9,000rpm.

Varian automatik PDK dipadan dengan LSD elektronik untuk respon lebih pantas, manakala varian manual dengan LSD mekanikal sepenuhnya. Anda pasti tahu yang mana kami lebih suka dan yang mana patut anda lebih suka.

911 GT3 akan datang yang berdasarkan Porsche 911 generasi 992 kini dalam fasa pembangunan dan dijangka muncul tidak lama lagi. Kemungkinan besar pada Frankfurt Motor Show pada September nanti.

Jadi, 911 GT3 mana satu jadi kesukaan anda? Penulis paling suka generasi 997 Mk2!

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here