Ini adalah harga rasmi Renault Megane RS 2019 di Malaysia

2199

TCEC melancarkans secara rasmi Renault Megane RS 2019 berserta harga rasmi untuk varian manual dan automatik EDC (Efficient Dual Clutch).

TC Euro Cars (TCEC) telah mempertontonkan hot hatch ikonik, Renault Megane RS di Malaysia pada April lepas. Ketika itu, hanya unit dengan transmisi manual dipertontonkan, dan harga anggaran RM279,888.



Varian manual berharga sama dengan harga anggaran iaitu RM280k, manakala varian EDC berharga RM20k lebih, iaitu RM299,888.

Untuk maklumat tambahan, harga di Langkawi untuk Megane RS manual dan automatik EDC masing-masing adalah RM149,888 dan RM159,888. Semua harga adalah atas jalan termasuk SST, tanpa insurans.

Berikut adalah ciri-ciri Renault Megane RS yang menyerlahkan keupayaan dan pengalaman sukan bermotor pengeluar Perancis itu yang dikatakan bakal memberi keseronokan pemanduan di jalanraya dan litar lumba.

  1. Teknologi 4CONTROL

Merupakan satu-satunya teknologi sebegini dalam segmen ini, 4CONTROL ialah sistem stereng empat-roda dimana roda belakang akan bergerak ke arah berlawanan dengan roda depan, atau sama dengan roda depan bergantung kepada keadaan.

Di kelajuan rendah, 4CONTROL akan memusingkan roda belakang berlawanan dengan roda depan, memberikan kelincahan lebih baik. Di kelajuan tinggi pula, roda belakang dipusing pada arah sama dengan roda depan, meningkatkan tahap kestabilan kenderaan.

Titik pertukaran adalah pada 60km/j, namun diubah kepada 100km/j dalam mod RACE.

  1. Empat hentian pemampat hidraulik

Ciri ini tersembunyi di dalam sistem suspensi Megane RS ini. Hentian pemampat hidraulik di dalam penyerap hentaknya merupakan teknologi yang diambil dari sukan rali.

Ciri ini akan memberi lebih keselesaan apabila kenderaan melalui permukaan kurang rata, namun akan melaras untuk memberi kestabilan di kelajuan tinggi. Ini mengurangkan kesan ayunan pendulum lalu memaksimakan hubungan antara tayar dengan permukaan jalan.

  1. Enjin dan kotak gear generasi baharu

Enjin 1.8-liter suntikan bahan api generasi terkini merupakan hasil dari Renault-Alliance. Ia mampu menghamburkan 280PS pada 6,000rpm dan 390Nm tork pada 2,400 hingga 4,500rpm.

Enjin ini dibangunkan oleh pakar-pakar dari Renault Sport Cars, Renault Sport Racing dan Renault Technocentre. Pembangunan enjin merangkumi aspek kemasukan, kawalan sistem turbo dan inovasi pada bahan binaan enjin.

Pilihan transmisi ialah manual enam-kelajuan (dikekalkan, menjadi identity Megane RS) dan automatik EDC enam-kelajuan. Transmisi dwi-klac EDC ini dipertingkatkan untuk menerima output enjin yang tinggi.

Transmisi EDC juga didatangkan bersama paddle-shifters. Terdapat juga mod MULTI-SENSE dimana pemandu boleh memilih antara Comfort, Normal, Sport dan Race.

Selain itu, transmisi EDC ini mempunyai fungsi Multi-Change Down dan Launch Control.

  1. Rekabentuk memberi maksud prestasi

Bahagian sisi Megane RS dilebarkan sebanyak 45mm (depan) dan 60mm (belakang) berbanding Megane GT. Megane RS juga 5mm lebih rendah.

Bilah pada gril depan diambil dari rekaan sayap depan F1, dan terdapat pengekstrak udara di fender kiri dan kanan untuk mengeluarkan udara dari arca roda.

Ciri lain yang memberi imej prestasi adalah sil sisi yang memberi hubungan antara depan dan belakang, serta spoiler belakang nipis yang direka semula untuk memberi lebih aerodinamik.

Di belakang, peresap belakang berfungsi meningkatkan downforce dan dikemaskan dengan gaya ekzos tengah yang menjadi identity Megane RS.

Untuk versi casis Cup, angkup brek Brembo-nya diwarnakan dengan warna merah.

  1. Memanfaatkan teknologi untuk peningkatan prestasi

Diperkenalkan pada Clio RS terkini, sistem lampu LED multi-reflektor RS Vision didatangkan secara standard pada Megane RS.

Dilengkapi sembilan unit lampu LED pada setiap blok, sistem itu menggabungkan fungsi lampu sisi, lampu isyarat belok, lampu kabus dan lampu tinggi. Ia mampu menerangi jalan sehingga 460m ke depan.

Jaminan

Renault Megane RS ditawarkan dengan jaminan tiga tahun ataun 100,000km (yang mana dahulu) dan disokong oleh 18 pusat servis sah Renault di Semenanjung Malaysia.

Jadi, apa pendapat anda mengenai Renault Megane RS 2019 ini? Adakah anda akan memilih Megane RS ini atau Civic Type-R, atau Golf R, atau AMG A 45?

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here