Azroy julang Honda di Cub Prix Malaysia Petronas, Terengganu

1434

Pelumba pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing, Azroy Hakeem Anuar kembali menemui sentuhan kemenangan selepas menjuarai kelas CP150 perlumbaan Pusingan 5 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas di Litar Permotoran Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak Kuala Nerus, petang tadi. 

Kemenangan itu adalah yang ketiga buat Azroy musim ini selepas menjuarai perlumbaan Pusingan 1 (Jasin, Melaka) dan 2 (Batu Kawan, Pulau Pinang) sekali gus membuktikan kebangkitan jentera Honda yang kurang menyerlah dalam tiga perlumbaan terakhir.



Kemenangan penuh dramatik itu dicapai sekali pun dua pelumba di depannya, Nazirul Izzat Bahauddin (ONEXOX TKKR SAG Team) dan Ahmad Afif Amran (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing) bersaing hebat untuk memburu podium utama.

Tetapi Azroy bertindak pantas untuk mengatasi dua pelumba itu, sekali gus mencecah garisan penamat dengan catatan masa 16:42.092 saat (s).

Tempat kedua menjadi milik Nazirul dengan masa 16:42.197s manakala pelumba Terengganu, Afif yang mendapat sokongan daripada penyokong tempatan sekadar menduduki tempat ketiga dengan masa 16:42.264s.

“Kemenangan yang amat bermakna buat saya selepas gagal menamatkan perlumbaan di Pontian sebelum ini. 

“Perlumbaan tadi sangat mencabar dan semua pelumba bersaing hebat sehingga ke lap terakhir, saya memilih untuk mengharungi perlumbaan itu secara selamat dan akhirnya kemenangan memihak kepada saya,” kata Azroy.

Selepas berakhir saingan Pusingan 5, Afif kekal mendahului kedudukan keseluruhan dengan 94 mata manakala Azroy di tempat kedua dengan 80 mata dan pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing pula mendahului carta keseluruhan dengan 128 mata.

Sementara itu dalam kelas CP115, Md Adib Rosley berjaya menamatkan 15 pusingan perlumbaan untuk muncul juara dengan catatan masa 13:08.314 saat (s) manakala rakannya, Md Fareez Afeez Abd Rahman di tempat kedua dengan masa 13:08.442s.

Pelumba pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing, Shahrol Syazras Shahrol Yuzy sekadar meraih di tempat ketiga dengan catatan 13:15.174s. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here