Syafiq Kyle dan Ain Edruce berentap dalam Vios Challenge musim ke-3

2440

Setelah sebulan dengan sesi latihan intensif, selebriti Syafiq Kyle dan Ain Edruce telah diberi ‘lampu hijau’ untuk bersaing dalam Vios Challenge musim ke-3. Ia sebahagian dari aktiviti dalam Toyota Gazoo Racing Festival.

Dua personaliti itu akan membuat kemunculan dalam Promotional Class di Pusingan 1 Toyota Gazoo Racing yang akan berlangsung di Kuala Terengganu minggu depan, 6-7 September 2019.



Diadakan dalam litar jalanan yang dibina khas sepanjang 1.65 km di perkarangan stadium berkenaan di Gong Badak, acara itu akan berlangsung selama dua hari iaitu 6-7 September 2019 (Jumaat & Sabtu).

 

Ia akan menampilkan aksi perlumbaan sengit antara selebriti, pelumba amatur serta profesional yang akan berentap di dalam tiga kategori berbeza (Promotional, Sporting dan Super Sporting) di dalam perlumbaan Vios Challenge.

“TGR Festival meraikan kejayaan Toyota dan Gazoo Racing di dalam sukan permotoran global, bermula dari pencapaian kami di dalam Rali Dakar dan Kejuaraan Rali Dunia hinggalah kepada kemenangan bersejarah di dalam 24 Hours of Le Mans. Semua itu ingin diterjemahkan untuk dimanfaatkan oleh orang ramai di sini,” kat Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor Sdn Bhd, Akio Takeyama.

Perlumbaan festival ini melibatkan empat pusingan dengan lapan perlumbaan melibatkan lebih daripada 40 pemandu yang akan bersaing menggunakan satu jenis kenderaan yang sama, iaitu Toyota Vios, di dalam litar kekal dan binaan khusus.

Ain berkata, “Ia satu pengalaman menarik dan saya banyak belajar dari sesi latihan untuk memahami racing line, mengenalpasti braking point, berada dalam gear yang betul di selekoh dan bagaimana mempertahankan racing line serta kekal tenang dan fokus semasa memandu dalam tekanan.”

“Saya tak pernah tahu bahawa terdapat begitu banyak sains dalam perlumbaan bermotor. Berlumba adalah lebih dari sekadar memandu laju, tapi ia memerlukan pemahaman momentum, pecutan, membrek, keseimbangan dan pengendalian kenderaan.”

Sementara itu pelakon Syafiq Kyle berkata, “Saya sudah bersedia untuk cabaran mendatang tapi saya rasa aspek paling mencabar ialah bersaing dalam litar jalanan. Ini suatu yang saya harus tangani dengan berhati-hati kerana semua latihan yang saya terima dilakukan di litar sebenar.”

“Di litar jalanan, tiada ruang untuk kesilapan. Satu pelanggaran di penghadang konkrit dan anda akan terkeluar dari perlumbaan,” tambahnya.

10 selebriti tempatan turut akan bersaing di dalam litar di Kuala Terengganu, dengan pelakon Diana Danielle akan mendahului sebagai juara bertahan.

Selebriti lain yang akan berlumba ialah Shukri Yahaya, Shawn Lee, Janna Nick, Nabil Ahmad, Khai Bahar, Nabila Razali dan Wany Hasrita. Musim ke-3 ini turut menyaksikan dua pelumba selebriti baru yang akan ikut serta, iaitu Ain Edruce dan Syafiq Kyle. Akio Takeyama juga akan berlumba untuk musim ketiga berturut-turut.

Saingan dalam kalangan selebriti juga dijangka akan lebih sengit dengan kembalinya Shukri Yahaya dan Shawn Lee ke dalam kategori Promotional selepas berlumba di dalam kategori Sporting pada musim lalu.

Kategori Sporting bakal menyaksikan bakat menakjubkan, Haydan Haikal kembali untuk siri perlumbaan musim keduanya dan akan disertai oleh antaranya Kenneth Koh yang menduduki tempat ketiga musim lalu, serta Dato’ Ken Foo yang meraih tempat kelima keseluruhan bagi musim kedua.

Bagi peminat sukan permotoran di Kuala Terengganu, terdapat banyak lagi aktiviti yang akan memeriahkan suasana sepanjang acara ini berlangsung.

Antaranya ialah pameran dan sesi pandu uji kenderaan baru Toyota, persembahan drift oleh pemandu Jepun yang dibawakan oleh Toyo Tires, cabaran perlumbaan simulator, permainan pentas dan persembahan oleh selebriti, aktiviti promosi, cabutan bertuah, jualan cenderahati serta sesi tandatangan peminat untuk memberi peluang kepada pengunjung mendekati barisan pelumba selebiriti yang terlibat.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here