Valtteri Bottas kekal sebagai rakan sepasukan Lewis Hamilton di Mercedes tahun depan manakala Esteban Ocon menggantikan Nico Hulkenberg di Renault, umum kedua-dua pasukan awal pagi tadi.
Pengumuman mengenai pemandu Perancis, Ocon kembali berlumba selepas semusim bertindak sebagai pemandu uji dan simpanan Mercedes dilakukan selepas pasukan juara itu memutuskan untuk memberikan Bottas tahun keempat di samping juara lima kali Hamilton.
Pada hari pertama yang sibuk selepas rehat pertengahan musim Eropah, paddock Formula Satu dihujani dengan spekulasi mengenai perpindahan dan khabar angin termasuk kemungkinan kembalinya Marcus Ericsson di Alfa Romeo menjelang Grand Prix Belgium, Ahad ini.
Mercedes membuat pilihan untuk mengekalkan Bottas, yang menyambut hari lahir ke-30 kelmarin.
Sejak menyertai Mercedes pada 2017, pemandu dari Finland itu menang lima Grand Prix dan kini di tangga kedua kedudukan pemandu, 62 mata di belakang Hamilton.
“Sasaran utama saya untuk menjadi juara Formula Satu dunia. Saya percaya mengenainya di atas kertas dan daripada pengalaman saya bersama pasukan. Mercedes pilihan terbaik buat saya untuk mencapai sasaran itu pada 2020,” kata Bottas.
Selepas musim tanpa kemenangan, Bottas bangkit tahun ini dengan dua kemenangan dan tujuh lagi penamat podium untuk muncul pencabar utama Hamilton ketika pemandu Britain itu membida gelaran dunia keenam.
Di Renault, Ocon menandatangani kontrak dua tahun sebagai rakan sepasukan Daniel Ricciardo dalam usaha meningkatkan tahap kompetitif pasukan Perancis itu, keputusan yang menyebabkan Hulkenberg terpaksa mencari pasukan bagi 2020.
“Pertama sekali, saya amat berbangga untuk menjadi pemandu Renault,” kata Ocon, bekas pemandu uji bersama pasukan itu. “Saya membesar di Enstone, bermula bersama Lotus pada 2010 dan kemudian bersama Renault.”