Sebagai usaha untuk memupuk tabiat pemanduan berhemah dan kesedaran keselamatan jalan raya, Ford dan pengedar tunggalnya, Sime Darby Auto ConneXion (SDAC), baru-baru ini menganjurkan program latihan pemandu berhemah untuk rakan-rakan kongsi korporat Ford melalui program Ford Driving Skills for Life (DSFL).
Lebih daripada 30 pemandu yang terdiri daripada rakan-rakan kongsi Ford meliputi syarikat-syarikat telekomunikasi dan utiliti mengambil bahagian di dalam bengkel separuh hari yang diadakan di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).
Malaysia mempunyai kadar tertinggi pemilikan kereta di rantau ini, dengan catatan kemalangan trafik tinggi setiap hari. Namun kesedaran terhadap asas keselamatan jalanraya masih kurang di kalangan rakyat Malaysia.
Mengikut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), lebih dari 43 peratus pemandu Malaysia menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan kurang daripada 10 peratus menggunakan tali pinggang keledar di tempat duduk belakang.
Bengkel tersebut dianjurkan secara percuma dan merangkumi pelbagai risiko pemandu dengan latihan memfokuskan kepada empat bahagian:
- Gangguan – Membuat keputusan bijak semasa memandu untuk menghadkan gangguan dan sentiasa fokus dalam pemanduan
- Mengenali bahaya – Bagaimana untuk mengagak bahaya di persimpangan dan zon selamat
- Pengurusan halaju dan jarak – Balajar bagaimana untuk menyesuaikan halaju dan jarak sekeliling, di hadapan dan belakang sambil mengelak dari dilanggar
- Kawalan kenderaan – Memahami kemampuan kenderaan dan belajar untuk mengawal kenderaan dengan lebih baik dengan menngoptimumkan ciri-ciri keselamatan seperti Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Amaran Perlanggaraan Hadapan dan Amaran Keluar Lorong.
Bengkel yang dijalankan secara teori dan amali itu turut menggunakan model-model Ford Ranger yang memang digunakan oleh peserta-peserta setiap hari. Ini ialah untuk membantu mereka dalam mencapai simulasi paling hampir kepada pekerjaan seharian mereka.
Acara Ford driving skills telah dilancarkan di 35 buah negara dan ia sudah melatih ramai pemandu-pemandu dari pelbagai lapisan usia selama 16 tahun. Di Malaysia sahaja, Ford DSFL telahpun melatih lebih dari 1,000 orang pemandu untuk menjadi pengguna jalan raya yang mengamalkan cara pemanduan yang berhemah.