Jualan kereta Jepun di Korea Selatan merudum dan jatuh 57 peratus pada Ogos berbanding bulan sama tahun sebelumnya kepada 1,398 kenderaan, demikian menurut data industri hari ini, di tengah-tengah langkah boikot pengguna ke atas kenderaan Jepun berikutan persengketaan diplomatik antara kedua-dua negara.
Keputusan Jepun pada Julai untuk mengetatkan kawalan ke atas eksport bahan yang digunakan Korea Selatan bagi penghasilan semikonduktor dan skrin paparan mendorong tindak balas pengguna di Korea, dengan pengguna memboikot produk Jepun seperti bir, pakaian, kenderaan dan lawatan ke negara jiran. Hal ini mendorong kepada faktor jualan kereta Jepun di Korea Selatan merudum.
Hubungan antara dua sekutu Amerika Syarikat (AS) itu sudah pun suram berhubung tuntutan pampasan Korea Selatan ke atas Jepun berhubung buruh paksa Korea Selatan semasa Perang Dunia Kedua.
Jualan Toyota di Korea Selatan jatuh 59 peratus kepada 542 pada Ogos berbanding bulan sama tahun sebelumnya, manakala jualan Honda Motor jatuh 81 peratus kepada 138.
Lexus Toyota adalah jenama Jepun yang paling laris di Korea Selatan, dengan jualan mencapai 603 kenderaan pada Ogos, naik 7.7 peratus berbanding setahun sebelumnya, tetapi turun 39 peratus berbanding Julai.