Pelumba Go-kart negara Putera Adam Halim menoktahkan perlumbaan Siri IAME Asia 2019 kategori Junior selaku juara keseluruhan selepas mengumpul 208 mata.
Mengungguli siri keenam di Litar Antarabangsa go-kart Sepang, Pelumba berusia 13 tahun itu sukar ditandingi apabila mendominasi keseluruhan 20 pusingan dengan cacatan masa 17 minit 06.289 saat dan meninggalkan pesaing, Christian Ho dari Singapura dan Tasanapol Inthraphuvasak dari Thailand dengan perbezaan masa 0.515 saat dan 0.273 saat.
Putera Adam yang memamdu jentera pasukan IS Racing turut berjaya mendapatkan tiket ke perlumbaan akhir antarabangsa IAME 2019 di Le Mans, Perancis pada 13 hingga 19 Oktober depan sekali gus mewakili Asia untuk bersaing dalam kalangan juara kejohanan Siri IAME di seluruh dunia.
Adam berkata perlumbaan kompetitif seperti ini memberikan peluang untuknya membuktikan pelumba dari Malaysia mampu bersaing di peringkat antarabangsa dan dalam masa sama dapat meningkatkan kualiti pemanduannya.
Sementara itu, Pengarah Sukan Reprise (Malaysia), Hafizan Halim menyifatkan kejayaan Putera Adam Halim mengekalkan momentum memenangi kejuaraan keseluruhan buat tahun kedua berturut-turut membuktikan pelumba muda ini memiliki potensi besar untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.
Justeru Hafizan berharap pihak berkaitan seperti SIC dapat memberikan peluang kepada Putera Adam mengikuti program pembangunan bakat SIC.
Untuk rekod, pelumba kelahiran Subang itu juga pernah mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa selepas menaiki podium sebanyak dua kali di Kejohanan WSK Super Master Series di Itali pada tahun 2016 dan 2017.