John McPhee menamatkan perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) Aragon di tempat keempat selepas bermula daripada petak kesembilan sekali gus menambah kutipan mata keseluruhan selepas 14 pusingan musim kepada 126 mata.
Pada perlumbaan di litar MotorLand Aragon itu, pelumba PETRONAS Sprinta Racing, John McPhee menemui garisan penamat dengan catatan keseluruhan 38 minit 06.645 saat dan ketinggalan 0.026s di belakang Dennis Foggia yang berada di pentas podium ketiga.
Pelumba Sterilgarda Max Racing Team, Aron Canet yang menyambar pertama kelmarin, muncul pemenang dengan catatan terpantas keseluruhan 38’01.916s manakala Ai Ogura (Honda Team Asia) melengkapkan pentas podium di tempat kedua.
“Hampir dengan penamat podium, saya gembira dengan keputusan tempat keempat ini bagi membantu kutipan mata bagi kedudukan keseluruhan,” kata McPhee yang akan terus bersama pasukan pada musim depan dan berada di tangga pat keseluruhan ketika ini.
Selepas 14 pusingan, McPhee menunjukkan prestasi yang baik dengan muncul pemenang GP Perancis pada Mei lalu – kemenangan keduanya selepas kali terakhir di GP Republik Czech 2016.
Pelumba berusia 25 tahun itu kemudian meraih penamat ketiga di GP Austria sebelum kedua di GP San Marino, minggu lalu.
Sementara itu, rakan sepasukannya dari Jepun Ayumu Sasaki menamatkan 19 pusingan perlumbaan di Aragon di tempat ke-13 untuk membawa pulang tiga mata bagi menjadikan jumlah keseluruhan ketika ini 50 mata. Dia kini berada di tempat ke-18 keseluruhan dalam carta pelumba Moto3.