Naza Premira Sdn Bhd telah menambah tawaran terbaharu dalam barisan Vespa mereka, iaitu Vespa Sprint Carbon.
Vespa baharu ini dijual bermula RM19,000 dan hadir dalam dua pilihan warna, Black Vulcano yang menjadi kegemaran peminat dan White Innocenza iaitu warna baharu.
Dari segi gaya, Sprint Carbon ini memakai tie depan dan pelindung speedometer dengan tekstur karbon, penutup horn merah baharu, pelekat roda baharu, dan shield edge serta penutup lampu dengan kemasan kelabu.
Bar hendal dan cermin dikekalkan dalam warna krom, dan lampu depan serta belakang adalah LED.
Lebih menaikkan lagi seri skuter ini adalah kemasan bendera Itali “tricolore”, logo Carbon di pelindung belakang dan tempat duduk tunggal Carbon.
Ia dikuasakan oleh enjin i-Get 150cc 4-lejang sejukan udara yang direka dari dalaman hingga ekzos untuk bersifat mesra alam.
Enjin ini menjana 12.9hp pada 7,750rpm dan 12.8Nm tork pada 6,500rpm.
Transmisi pula ialah jenis CVT, dan skuter ini dilengkapi rim 12-inci.
Vespa Sprint Carbon mendapat brek hidraulik cakera 200mm di depan dengan ABS, dan brek dram di belakang. Ia mempunyai tangki minyak dengan kapasiti 7.5-liter.
Peminat Vespa kini boleh melihat sendiri Sprint Carbon dengan lebih dekat di semua wakil pengedar dan cawangan sah Vespa seluruh negara.
Tiga model Vespa lancar Ogos lalu
Pada Ogos lalu, Vespa turut melancarkan model gaya ranggi dan sporty. Ia membabitkan 3 model vespa baharu dilancarkan bagi menambah pilihan kepada pembeli. Tiga model vespa baru iaitu Primavera S 150, Sprint S 150 dan S125 Carbon Edition diperkenalkan dengan kemasan lebih menarik.
Vespa Primavera S 150 dijual pada harga RM16,400 dengan tiga pilihan warna baharu. Vespa Sprint S 150 pula dijual pada harga RM17,400. S125 carbon edition adalah model paling murah Vespa di Malaysia.
Semua model Vespa didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 kilometer (km) yang mana lebih dahulu.
Sejak menjadi pengedar rasmi Vespa di negara ini pada 2010, Naza Premira sudah menjual 12,000 unit Vespa.