Petronas Sprinta Racing rekrut pelumba baru perkuat saingan Moto2 2020

1324

Petronas Sprinta Racing mengumumkan akan menggunakan khidmat Jake Dixon selaku pelumba kedua bagi memperkuat saingan pada Moto2 2020.

Dixon yang berusia 23 tahun dan berasal dari Kent, England akan bergabung bersama Xavi Vierge untuk aksi musim depan, seterusnya berpeluang menguji jentera Kalex buat kali pertam di Jerez, Sepanyol November ini.



Menurut Dixon, dia sangat gembira apabila dapat menyertai PETRONAS Sprinta Racing dan tidak sabar untuk menunggang jentera pasukan barunya itu sebaik berakhir Kejuaraan Motosikal Dunia musim 2019.

“PETRONAS Sprinta Racing adalah sebuah pasukan yang hebat dan ia boleh dilihat berdasarkan kepada kejayaan yang mereka capai tahun ini dalam saingan MotoGP dan Moto3“.

“Ia satu peluang besar buat saya, tentunya saya akan memberikan yang terbaik. Tahun 2019 bukan satu musim yang mudah buat saya tetapi saya belajar banyak perkara dan memperoleh pengalaman yang baik untuk 2020,” katanya.

Dixon juga mengakui bahawa Kalex adalah jentera yang terkenal dengan kemampuannya dan dia belum boleh menyatakan mengenai sasaran sehinggalah dapat menunggang motosikal itu sendiri.

“Saya akan memulakan musim baru dengan menumpukan kepada satu perlumbaan ke satu perlumbaan lain,” kata Dixon yang ketika ini bersama pasukan Gaviota Angel Nieto Team.

Pada tahun pertamanya menyertai saingan Moto2 musim ini, Dixon sudah mengumpul empat mata selepas 15 perlumbaan dan berada di tangga ke-26 keseluruhan.

Rakan sepasukannya, Vierge (ketika ini bersama EG 0,0 Marc VDS) pula berada di tangga ke-15 dengan meraih 59 mata.

Dixon sebelum ini menyertai Kejuaraan Superbike British dan muncul naib juara pada musim 2018, 70 mata di belakang juara yang juga rakan senegaranya, Leon Haslam.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here