Rumah keluarga pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Afif Amran hangus terbakar

2012

Rumah keluarga pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Afif Amran hangus dalam kebakaran di Kampung Paya Balai Besar, Dungun, hari ini.

Dalam kebakaran 11.40 pagi itu, rumah papan terbabit musnah sepenuhnya dalam tempoh 30 minit apabila api marak dengan pantas akibat angin kencang.

Bagaimanapun, kepantasan 13 anggota Bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat Dungun dan Paka berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah bersebelahan.



Ibu Ahmad Afif, Zaiton Ramli, 46, berkata, ketika kejadian dia bersama suaminya, Amran Ngah, 52, tiada di rumah kerana bekerja.

“Saya tukang masak di sekolah, manakala suami yang bekerja sebagai mekanik pergi ke Gebeng untuk membaiki kenderaan.

“Saya terima panggilan daripada jiran memaklumkan rumah terbakar sebelum bergegas pulang.

“Namun, kami sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila gagal menyelamatkan semua harta benda kerana api marak dengan cepat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, kebakaran itu menyebabkan tiga motosikal dan dua kereta pelanggan yang perlu dibaiki turut musnah terbakar.

“Tiga anak ketika itu di sekolah dan Ahmad Afif pula dalam perjalanan ke Tangkak, Johor untuk menghadapi perlumbaan Cup Prix, Jumaat ini.

“Saya sudah maklum pada Ahmad Afif semua barangan miliknya seperti pakaian perlumbaan, topi keledar dan sebagainya musnah dijilat api.

“Dia kini dalam perjalanan pulang ke Dungun,” katanya.

Sementara itu. Amran berkata, dia tidak menyangka mimpi rumahnya terbakar beberapa bulan lalu menjadi kenyataan.

“Dalam mimpi itu saya bertungkus-lumus menyelamatkan harta benda, termasuk anak sewaktu kebakaran.

“Bagaimanapun saya menganggap mimpi terbabit hanya permainan tidur dan tak sangka ia menjadi kenyataan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Dungun, Mohd Aidil Khairim Abd Wahab berkata, kebakaran itu berjaya dipadamkan sepenuhnya 1.30 petang.

Katanya, pihaknya berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah bersebelahan.

“Kebakaran menyebabkan rumah berkenaan musnah sepenuhnya.

“Bagaimanapun, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here