Mercedes-AMG C 63 masa depan akan singkirkan V8, guna 4-silinder je?

1402

Mercedes-AMG C 63 akan menyingkirkan penggunaan V8 dan akan menggunakan enjin 4-silinder, siap dengan keupayaan plug-in hybrid! Ya, untuk C 63! Perkara ini adalah seperti dilaporkan oleh Autocar.

Dan ini bukanlah benda yang baru dibincangkan. Pada April 2018, bos Mercedes-Benz Tobias Möers memberitahu CarAdvice bahawa sedan terlaris Mercedes itu akan mendapat hibrid dan pacuan semua-roda.



Dia berkata, “Kita haruslah kreatif, dan saya mengejar prestasi, dan ianya tidak terikat kepada jumlah silinder.”

Dalam satu temuramah lain bersama Möers di Frankfurt Motor Show, Motor Trend menyebut bahawa enjin empat silinder 2.0-liter turbo dengan 416hp dalam A 45 S dan CLA 45 S, bakal muncul di model AMG C-Class.

Mercedes-AMG C 63 telah menunjukkan kepada jaguh segmen iaitu BMW M3/M4 bagaimana sepatutnya sebuah sedan/coupe sport patut jadi. Sebahagian dari itu dicapai dengan bunyi dan karakter enjin V8 4.0-liter turbo itu.

Enjin M177 ini mampu menjana 469hp/650Nm dalam varian standard, dan 503hp/700Nm dalam varian S. Walau bagaimana pun cara ia mencapai angka itu, peminat AMG pastinya kecewa hero mereka akan kekurangan 2 silinder di belakang M3 akan datang.

Pacuan semua-roda akan menjadi satu-satunya pilihan, tetapi ia menggunakan sistem yang cenderung ke tayar belakang seperti pada E 63. Untuk bentuk badan, Autocar berkata tiada lagi versi wagon, hanya sedan, coupe dan convertible yang tinggal. Versi wagon hanya terdapat pada C 43.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here