12 enjin kereta paling berkuasa mengikut hp-per-liter

13263

Meletakkan sesaran lebih besar kepada enjin kereta biasanya memberikan lebih kuasa. Namun kebanyakan enjin-enjin ini bukanlah bersesaran besar, tetapi enjin kereta paling berkuasa memberikan output besar. Kami susun mengikut kedudukan.

Kapasiti enjin yang besar boleh memberikan output besar dengan mudah, tetapi bagaimana jika enjin itu berkapasiti kecil?



Di masa lepas, 100hp-per-liter ialah satu angka yang kita mungkin jangkakan dari kereta sports berprestasi tinggi. Kereta keluarga biasa takkan dapat menghampiri angka itu, dan akan sukar dipandu jika ia berkuasa sedemikian.

Ia masih perkara jarang berlaku hari ini, tetapi terima kasih kepada kemajuan teknikal secara umum dan turbo khususnya, angka ini boleh didapati dalam model harian.

Di sini kami senaraikan 12 kereta yang paling berkuasa jika dibahagikan dengan kapasiti liter enjin mereka. Mungkin kereta nombor 1 bukan paling berkuasa, tetapi jika cc-nya jauh lebih kecil, ia akan mempunyai kuasa-per-liter lebih tinggi.

12. McLaren 720S: 177.8 hp-per-liter

McLaren membahagikan rangkaian kereta jalanan mereka kepada beberapa siri. Dalam Super Series, kereta paling berkuasa ialah 720S.

Seperti juga McLaren lain, model ini mempunyai enjin V8, dalam kes ini unit 3,994cc dengan 710hp. Dari segi kuasa mutlak (macam superhero pulak!) dan hp-per-liter, ia dengan mudah mengalahkan enjin F1 BMW V12 tahun 1990an.

11. Porsche 911 GT2 RS: 181.6 hp-per-liter

Dari segi output kuasa, tiada 911 biasa yang mampu datang dekat dengan dengan GT2 RS, model terkini dari rangkaian model GT2 yang mula diperkenal pada awal 90-an.

Enjin 3,800cc 6-silinder menghasilkan 690hp, kesemuanya dihantar ke jalan melalui tayar belakang sahaja (sama seperti McLaren 720S).

10. Ferrari 488 Pista: 182.0 hp-per-liter

Pista ialah versi Ferrari 488 untuk kegunaan di litar, dan tidak seperti versi litar lain, Pista ini boleh dipandu di jalanraya. Dengan penambahan kuasa dan aerodinamik ditambahbaik, peningkatan lain termasuklah kepada enjin V8 3,902cc, iaitu penambahan kuasa dari 661hp kepada 710hp.

9. Volvo V60 Polestar: 183.3 hp-per-liter

Volvo V60 Polestar pertama (dan adik beradik sedannya, S60) mempunyai enjin 6-silinder 3.0-liter. Ini digantikan pada 2016 dengan 4-silinder 1,969cc yang lebih berkuasa, dengan 362hp yang boleh melonjakkan kereta wagon ini terus ke wilayah Ferrari, Porsche dan McLaren.

8. Bugatti Chiron: 185.0 hp-per-liter

Hanya sedikit sahaja lebih berkuasa dari 2.0-liter yang diguna pada Volvo V60 Polestar, enjin 7,993cc quad-turbo W-16 pada Bugatti Chiron ini 4 kali lebih besar, dan menghasilkan 1,479hp.

Versi yang dimodifikasi dengan 1,587hp (197.4 hp-per-liter) akan digunakan untuk Chiron Super Sport 300+ dan Centodieci edisi terhad akan datang. Chiron yang telah diberikan sedikit modifikasi baru-baru ini telah mencapai kelajuan maksima 305 batu sejam (490km/j).

7. Ford GT: 185.1 hp-per-liter

Penghormatan Ford kepada lagenda GT40 sememangnya cukup berkuasa, tetapi enjin 5.4-liter V8 tak berapa mencapai 100 hp-per-liter pun. GT generasi kedua yang dilancar pada 2017 jauh lebih impresif dari aspek ini.

Enjin V6 EcoBoost twin-turbo 3,496cc di belakang kokpit menghasilkan 647hp, angka yang jauh lebih menjanjikan.

6. Nissan GT-R50: 186.9 hp-per-liter

Setakat ini versi Nissan GT-R paling berkuasa ialah GTR-50, dibangunkan dengan kerjasama Italdesign untuk menyambut 50 tahun lencana GT-R.

Enjin V6 3,799cc biasa telah ditala dengan menyeluruh untuk menghasilkan 710hp, walaupun penala bebas telah mencapai angka yang jauh lebih tinggi.

5. McLaren Senna: 197.5 hp-per-liter

Dinamakan sempena juara dunia F1 tiga kali, Ayrton Senna (semua kemenangannya adalah dengan McLaren), McLaren Senna ialah sebahagian dari Ultimate Series. Ia menggunakan enjin V8 3,994cc yang sama pada 720S, tetapi dengan 79hp lebih berkuasa, iaitu 789hp.

4. SSC Ultimate Aero TT: 202.8 hp-per-liter

Ultimate Aero TT asal memegang rekod kelajuan dunia untuk kereta produksi selama hampir tiga tahun sebelum Bugatti Veyron Super Sport memecahkannya.

SSC yang dikemaskini dijana oleh enjin V8 twin-turbo 6,345cc yang dimodifikasi untuk menghasilkan 1,287hp, 104hp lebih dari sebelumnya.

3. Mercedes-AMG A45: 208.4 hp-per-liter

Setakat 2019, enjin turbo 1,991cc dalam A 45 (dan pada CLA 45 dan GLA 45) menghasilkan sehingga 415hp dalam model S. Ia kadang-kala dikatakan sebagai enjin 2.0-liter 4-silinder paling berkuasa di dunia, tetapi ada masanya ia tidak berapa benar.

2. Mitsubishi Evo X FQ-440 MR: 220.2 hp-per-liter

Untuk meraikan ulangtahunnya yang ke-40 di UK, Mitsubishi di sana telah menghasilkan Evo paling berkuasa pernah wujud, iaitu 440hp dari 1,998cc – pada 2014.

Hanya 40 unit pernah dikeluarkan, unit terakhir dalam gambar ini masih dimiliki oleh Mitsubishi. Ada Evo lebih berkuasa pernah ditayang di Jepun pada 2015, tetapi ia tidak pernah diproduksikan.

1. Koenigsegg Jesko: 313.6 hp-per-liter

Model terbaharu Koenigsegg juga merupakan model paling berkuasa. Jesko dikatakan mampu menghasilkan 1,262hp dengan petrol, dan 1,587hp dengan campuran E85 etanol/petrol.

Tidak seperti Bugatti yang menggunakan 8.0-liter, semua kuasa dari Jesko ini hadir dari enjin yang dikira kecil, iaitu 5,032cc, memberikan angka hp-per-liter yang cukup menakjubkan, pasti sukar ditandingi oleh pengeluar lain.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here