Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin baru-baru ini menyempurnakan perlumbaan Grand Prix Jepun. Walaupun dia menamatkan perlumbaan di tempat kedua terakhir, penunggang Tech 3 itu mencuri tumpuan setelah perlumbaan tamat apabila dia membantu pemenang perlumbaan, Marc Marquez.
Menurut laporan, semasa Marquez meraikan kemenangannya, jentera Honda RC213V itu kehabisan minyak. Hafizh yang berada dekat terus datang dan menunda pelumba Sepanyol itu.
Para penonton di perlumbaan itu tersangat terkejut dengan cara yang digunakan oleh Hafizh untuk menunda Marquez, yang mana mereka tidak mengetahui bahawa satu cara yang “sangat Malaysia”.
Video pendek yang menunjukkan Hafizh menunda motosikal Marquez menggunakan kaki itu disiarkan di Instagram rasmi MotoGP dan ia terus viral, kini lebih 1.6 juta tontonan semasa artikel ini ditulis.
Cara tunda Hafizh yang tidak disangka itu disambut baik oleh netizen, terutamanya Marquez sendiri yang komen pada video itu mengucapkan terima kasih kepada Hafizh.
Sementara itu, pengguna laman sosial Malaysia memberitahu Marc bahawa teknik Hafizh itu sebenarnya cara klasik penunggang Malaysia membantu antara satu sama lain.