Pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Franco Morbidelli teringin bercuti di Langkawi kerana kebiasaannya dia menghabiskan sebahagian besar waktunya di Malaysia bersama pasukannya.
Dia tahu serba sedikit mengenai pulau itu dari Dato Razlan Razali dan membuatkan Franco Morbidelli teringin bercuti di Langkawi. “Saya tahu mengenai Langkawi daripada Razlan (Prinsipal Petronas SRT Datuk Razlan Razali). Beliau memberitahu saya pulau itu sangat menarik dan saya berharap untuk berada di sana satu hari nanti,” katanya pada sesi bertemu peminat di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Jalan Ampang.
Sementara itu, penunggang Moto3, John McPhee (Petronas SRT) dan Can Oncu dari Red Bull KTM Ajo memilih Pulau Pinang sebagai destinasi impian, jika mereka mempunyai peluang untuk menghabiskan masa di negara ini.
“Saya suka Pulau Pinang, saya tidak pernah ke sana tapi mendengar ramai orang bercakap mengenainya,” kata warga Scotland itu.
Brad Binder dari Red Bull KTM Ajo yang kini berada di tangga ketiga kedudukan kejuaraan, tahu Menara Berkembar salah satu bangunan ikonik di Kuala Lumpur.
Pelumba negara, Khairul Idham Pawi pula berkata, dia tidak pernah ke Pulau Langkawi, manakala Adam Norrodin tidak pernah ke Pulau Pangkor.
Pulau Langkawi di Kedah dan Pulau Pinang, dua destinasi paling popular yang disebut-sebut pelumba MotoGP, menjadi lokasi impian yang mereka ingin kunjungi di negara ini.
Semua penunggang ditanya mengenai apa yang mereka tahu mengenai Malaysia selain Litar Antarabangsa Sepang (SIC), lokasi mereka berlumba dan melakukan ujian semasa musim sejuk.
Kebanyakan penunggang tahu Pulau Langkawi adalah destinasi pantai Malaysia yang terkenal.
Pulau Pinang pula menurut mereka, sebuah pulau dan sebahagian tanah besar di utara Semenanjung, yang terkenal dengan bandar bersejarah Georgetown dan pusat peranginan Batu Ferringhi yang menjadi tempat penginapan popular.
Bagaimanapun, disebabkan jadual yang ketat, semua penunggang itu tidak pernah mengunjungi kedua-dua destinasi popular berkenaan, walaupun mereka sering datang ke Malaysia.