Ferrari telah mendedahkan Roma, sebuah jentera V8 enjin depan dengan 620hp yang dijuruterakan untuk menyaingi Mercedes-AMG GT dan Aston Martin Vantage.
Roma yang juga merupakan model baharu kelima Ferrari tahun ini – selepas F8 Tributo, F8 Tributo Spider, 812 GTS dan SF90 Stradale – menampilkan konfigurasi coupe 2+, rekaan timeless dan “prestasi tiada tandingan”.
Dapat dilihat pada Roma ini ia dilengkapi gril depan menyerlah dengan bonet depan panjang, garisan tajam di atas gerbang roda, cermin belakang curam, lampu depan nipis dan ekzos quad.
Ferrari Roma dipacu oleh enjin 3.9-liter V8 turbo dari Portofino tetapi telah ditala untuk memberikan 620hp dan 760Nm tork. Transmisi pula ialah unit DCT dwi-klac yang diperkenalkan pada SF90 Stradale. Ferrari berkata pecutan 0-100km/j dapat dibuat dalam 3.4 saat, dan kelajuan maksima lebih dari 320km/j.
Roma juga mempunyai berat kering cuma sekitar 1,472kg dengan pilihan “lightweight”, iaitu 80kg lebih ringan dari Portofino. Roma lebih pendek dari Portofino walaupun mempunyai jarak roda yang sama iaitu 2,670mm.
Selain dari spoiler belakang aktif, Roma juga menampilkan perisian terkini Side Slip Control dari Ferrari. Terdapat lima mod pemanduan, dan fungsi Ferrari Dynamic Enhancer yang boleh mengawal sudut gelinciran kereta dengan kawalan brek.
Di dalam, kereta ini menampilkan dua “sel” berasingan untuk pemandu dan penumpang, dengan dua tempat duduk kecil di belakang. Pemandu dan penumpang depan dipisahkan dengan pembahagi tengah, yang mungkin menjadi konsep kokpit untuk model-model Ferrari akan datang. Rekaan stereng juga baharu sepenuhnya.
Meter rev analog tradisional telah diganti dengan skrin melengkung 16-inci di belakang roda stereng, bersama dengan skrin tengah 8.4-inci menegak. Terdapat juga skrin sesentuh berasingan untuk penumpang.
Menurut Ferrari, Roma dinamakan mengikut ibunegara Itali, yang menjadi lokasi pelancarannya. Keputusan untuk memperkenalkan nama baharu ini dan bukan sekadar versi hard-top Portofino ini bermakna ia akan disasarkan kepada sasaran pelanggan baharu.