Tryke Transportation Sdn Bhd hari ini melancarkan skuter elektrik (e-scooter) di Malaysia. Mobiliti perkongisan terbaharu itu membawakan pengangkutan mudah, selamat dan mesra alam untuk jarak dekat dalam bandar.
Ia telah diperkenalkan sebelum ini di Iskandar Putri, Johor pada Jun untuk percubaan, dan kini tiba di Lembah Klang dengan bandar Cyberjaya menjadi lokasi pertama.
Menurut pengasas Tryke, Timothy Wong, “Skuter elektrik Tryke menawarkan alternatif untuk mengatasi kesesakan lalu-lintas dan mengurangkan kebergantungan komuniti kepada kenderaan bermotor.”
Pelancaran itu dibuat bersempena dengan program Smart City RAP 2019, anjuran PLANMalaysia dan Cyberview. Ia dirasmikan oleh Ybhg. Dato’ Tpr. Mohd Anuar bin Maidin pengarah PLANMalaysia bertempat di RekaScape, Cyberjaya.
Untuk mula menggunakan Tryke, pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi Tryke di telefon pintar mereka dan menggunakan kod khas untuk membuka kunci skuter Tryke.
Terdapat bayaran RM1 untuk membuka kunci, kemudian pengguna akan dicaj RM0.30 setiap minit sehingga mereka memulangkan skuter di tempat yang dikhaskan.
Mereka juga boleh memilih untuk mendapatkan pas tanpa had untuk kegunaan harian, mingguan atau bulanan, masing-masing dengan caj RM9.99, RM39.00 dan RM99.00.
Tryke mensasarkan pengguna menunggang skuter elektrik ini di laluan pejalan kaki dan lorong basikal untuk keselamatan.
Mereka juga perlu menunggang dalam had laju dibenarkan dan dan mematuhi peraturan jalanraya sepanjang masa. Mereka juga perlu menunggang di dalam zon yang ditetapkan kerana jika keluar dari zon itu, penggera akan berbunyi. Setiap skuter dilengkapi alat pengesan GPS.
Buat masa ini, Tryke memperkenalkan 20 lokasi sekitar Cyberjaya untuk mengambil skuter-skuter ini, selain beberapa lokasi dalam kampus Institut Pengajian Tinggi. Ia kemudian akan dikembangkan ke beberapa kawasan lain.