Pandu uji: Mazda3 1.5 Liftback – Berbaloikah RM140k untuk sebuah sedan sporti 1.5-liter? [+video]

3569

Kami telah pun memandu uji Mazda3 serba baharu ini di acara pemanduan tertutup di Litar Antarabangsa Sepang. Ia diadakan hanya beberapa hari selepas pelancaran.

Tanggapan awal, kami sukakan penampilan, rasa dan kemantapan Mazda3 serba baharu ini.



Namun, bagaimana pula pemanduan kereta ini di dunia sebenar? Kerana kebanyakan pemilik akan menggunakannya untuk kegunaan harian, bukan di litar.

Kami memandu uji versi Liftback 1.5-liter dan melihat sejauh mana nilai yang diberikan untuk harga RM139,770 ini.

Dari segi rekaan luaran, kami belum jumpa orang yang berkata rekabentuk Mazda3 baharu ini tidak cantik. Rata-rata berkata ia kereta yang cantik, sporti dan menawan.

Rekaan dalaman pula ada sedikit positif dan negatif.

Positif ialah penggunaan bahan yang premium seperti kulit, plastik lembut dan besi aluminium yang sejuk apabila dipegang. Ia memberikan rasa mahal, lebih “atas” dan mula menunjukkan bahawa harga kereta ini berbaloi.

Negatif pula ialah ruang tempat duduk belakang yang mungkin terasa sempit, terutamanya versi Liftback ini. Bukan sempit kerana tiada ruang, tetapi kerana warna hitam keseluruhan kabin yang membuatkan rasa gelap dan sempit, dan tingkap pintu belakang yang menaik agak condong.

Ah, tapi kalau anda pemandu tegar yang beli kereta ini, peduli lah penumpang belakang, bukan? Kalau nak tumpang, silakan. Kalau taknak, tak mengapa. Habis cerita.

Sebenarnya, enjin SkyActiv-G 1.5-liter dengan 118hp dan 153Nm mencukupi untuk kegunaan biasa. Walaupun angka output bukan paling memberangsangkan, padanan enjin itu dengan transmisi SkyActiv-D enam kelajuan membantu memberikan daya pecutan yang optima dalam semua keadaan.

Enjinnya pula agak merdu dan sedap bunyinya apabila ditekan hingga ke hujung had rpm, seolah-olah menggalakkan pemandunya untuk mendapatkan kuasa yang ada di hujung situ.

Stereng Mazda3 ini sangat tajam dan responsif, memberikan keyakinan serta kepuasan apabila mengambil selekoh atau mengubah arah. Dan ia tidak terlalu berat atau ringan, sedap secukup rasa.

Perbandingan dengan model lain dalam segmennya?

Honda Civic menawarkan pakej lebih baik dari segi nilai untuk wang. Tetapi bagi kami, Mazda3 jauh lebih seronok dan memuaskan untuk dipandu.

Hyundai Elantra pula agak menarik dan sering orang terlepas pandang. Ia tersangatlah lancar dan terasa berkualiti. Enjin 2.0-liter itu juga agak menjimatkan dan dipadan dengan transmisi 6-kelajuan yang bagus.

Untuk Toyota Corolla Altis, kami belum memandu uji penuh, tetapi kami telah pandu pergi ke Genting Highlands dan balik ke KL. Ia mempunyai casis dan kerangka sangat mantap, cuma padanan enjin 1.8-liter dengan CVT agak mengecewakan. Tetapi aspek lain Corolla Altis ini masih cemerlang.

Kesimpulannya, berbaloikah Mazda3 1.5 Liftback ini? Bagi kami, ya, berbaloi. Dan anda haruslah benar-benar sukakan kereta ini dan suka memandu, barulah sesuai dengan harga ditawarkan.

Adakah kami akan beli? Tidak, bukan Mazda3 1.5, tetapi jika ada rezeki, mungkin penulis ingin membeli Mazda3 2.0 Liftback. Ini kerana ia mendapat rim lebih besar yang lebih sesuai dengan penampilan kereta ini, dan ia mendapat ciri kelengkapan dan keselamatan lebih baik.

Tapi, itulah… RM160,059. Hmmm…  

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here