Menunggang motosikal pada waktu malam boleh memberikan kepuasan yang tersendiri. Anda bukan sahaja boleh menikmati angin sejuk yang menenangkan, malah keadaan trafik juga tidak sesesak seperti pada siang hari.
Namun sebagai penunggang anda juga harus lebih berhati-hati pada waktu malam kerana tahap penglihatan anda dan juga pengguna jalan raya lain pada waktu ini adalah lebih rendah.
Berikut adalah beberapa tips berguna untuk menunggang motosikal pada waktu malam:
- Penghadang angin atau visor topi keledar gelap harus dielakkan. Gunakan visor jenis jernih (clear) dan pastikan ia bersih dan bebas dari sebarang calar atau kecacatan kerana ia boleh mengganggu penglihatan anda.
2. Pemantul cahaya (cats eyes) di atas jalan raya adalah kawan baik anda ketika menunggang pada waktu malam kerana ia boleh menjadi penunjuk kepada bentuk jalan di hadapan anda.
3. Anda mungkin kelihatan kurang bergaya, namun kelengkapan menunggang (jaket, but, sarung tangan dan sebagainya) dengan jalur pemantul cahaya membuatkan anda lebih mudah dilihat terutamanya di kawasan-kawasan gelap.
4. Pastikan lampu depan dan belakang, serta lampu isyarat motosikal anda sentiasa bersih.
5. Elakkan daripada melihat terus ke lampu kenderaan yang datang dari arah bertentangan. Jika kenderaan tersebut menggunakan lampu tinggi, jangan balas kerana ia boleh mengganggu tumpuan pemandu.
6. Selain penglihatan, gunakan deria yang lain supaya anda sentiasa peka dengan keadaan sekeliling. Ini kerana potensi bahaya lebih sukar dikesan pada waktu malam.
7. Elakkan daripada membuat andaian sekiranya anda tidak pasti tentang keadaan atau bentuk jalan raya di hadapan. Sebagai contoh, jika anda dapat melihat lampu kenderaan di hadapan, ia tidak bermakna jalan di hadapan adalah lurus.