Proton R3 tampil pasukan lumba wanita, tamat tempat ke-7 dari petak belakang!

2441

Anda pasti terbaca akan kemenangan pasukan Proton R3 yang meraih podium tempat pertama dan kedua pada perlumbaan Sepang 1000km (S1k).

Walaupun berita itu menjadi buah mulut, harus diingat juga pencapaian satu lagi pasukan R3, iaitu pasukan yang terdiri dari tiga pelumba wanita yang memandu Proton Saga. Mereka ialah Leona Chin, Faye Kusairi dan Nurul Husna.



Pasukan ini menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh, dan apa yang lebih mengagumkan, mereka bermula dari petak belakang bagi kelas M-Production.

Gandingan tiga pemandu ini adalah dari tiga latar belakang dan pengalaman berbeza. Leona ialah drifter dan pelumba yang semakin menempa nama, manakala Faye dan Nurul dipilih melalui program pencarian pasukan pelumba wanita.

Meskipun mereka baru sahaja terlibat dengan R3 dan bekerjasama antara satu sama lain, kepantasan pemanduan ketiga-tiga mereka terbukti menonjol semasa sesi latihan, menetapkan masa yang meletakkan mereka di kedudukan lapan teratas secara konsisten.

Walau bagaimanapun, terdapat masalah teknikal pada sesi kelayakan, yang memerlukan mereka bermula di petak belakang.

Memulakan perlumbaan di kedudukan ke-26 tidak sesekali mematahkan semangat mereka di mana ketiga-tiga mereka telah memandu dengan penuh berkemahiran dan kesabaran yang tinggi melalui strategi yang diatur ketika di dalam litar.

Oleh itu, tidak hairanlah semasa Leona melepasi garisan penamat selepas sembilan jam mengharungi cabaran, mereka akhirnya layak meraih kedudukan ketujuh.

“Perlumbaan S1K ini memberikan pengalaman bermakna dan luar biasa bagi saya. Secara jujur, sekiranya kami diberi peluang sekali lagi, saya rasa kami mampu untuk berdiri di atas podium,” kata Faye Kusairi.

“Barisan pelumba wanita kami mempamerkan prestasi mantap dan kemahiran pemanduan yang baik untuk kembali berada di posisi hadapan. Ia adalah pencapaian hebat untuk berada di tempat ketujuh dalam perlumbaan S1K yang sangat mencabar dan ini merupakan penamat terbaik yang pernah dicapai pada perlumbaan yang melibatkan pelumba-pelumba wanita,” kata Gary Lee, Ketua Pasukan Proton R3.

Proton Saga membuktikan kehebatannya di litar lumba walaupun baru sahaja berada di dalam barisan kereta R3, Proton Saga 2019 telah membuktikan keupayaannya untuk menjadi kereta litar yang pantas.

Kitaran tempoh pembangunannya yang singkat, dilancarkan pada 6 Ogos 2019, bermakna pasukan R3 perlu berhadapan dengan cabaran besar untuk mempersiapkan model tersebut dalam tempoh masa yang ditetapkan, namun hasilnya membuktikan bahawa Saga amat sesuai untuk sukan permotoran.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here