Pemandu bas di Kelantan mogok, pengguna terjejas

2430

Orang ramai yang menggunakan perkhidmatan bas untuk urusan seharian hari ini mengeluh kerana kenderaan pengangkutan awam yang mereka tunggu tidak kunjung tiba.

Imej: Free Malaysia Today

Hal itu berlaku ekoran tindakan pemandu bas berhenti-henti Cityliner melancarkan mogok.

Seorang pengguna Zaidi Che Soh, 47, berkata ketiadaan perkhidmatan bas menyukarkannya untuk berulang-alik ke tempat kerja.



“Selalunya saya menggunakan perkhidmatan bas untuk ke tempat kerja, hari ini tunggu-tunggu, bas tidak sampai (jadi) terpaksa menggunakan perkhidmatan kereta sewa dan sampai lewat ke tempat kerja.

“Sepatutnya perkara ini perlu dimaklumkan lebih awal kepada pengguna supaya memudahkan untuk membuat perancangan lain,” katanya.

Sementara itu seorang lagi pengguna dari Kampung Batu 6 di Tanah Merah, Suhaila Abdullah, 45, berkata ketiadaan perkhidmatan bas menyukarkan orang ramai terutamanya ibu bapa ke pusat bandar untuk melakukan urusan persiapan persekolahan anak-anak.

“Ramai yang merungut kerana tidak di maklumkan tentang mogok tersebut terlebih dahulu bagi membolehkan mereka membuat persiapan alternatif.

“Kami berharap mogok ini tidak berterusan dan pihak syarikat perlu mengambil berat akan perkara ini untuk kebaikan kedua-dua belah pihak demi kepentingan pengguna,” katanya.

Perkhidmatan bas henti-henti di Kelantan dilaporkan lumpuh hari ini selepas lebih 100 pemandu bas Cityliner melancarkan mogok dipercayai kerana tidak menerima gaji sejak dua bulan lepas.

Sumber memberitahu Bernama, tindakan itu menyebabkan 60 hingga 70 bas yang sepatutnya beroperasi dari pukul 6 pagi sehingga 10 malam setiap hari tidak kelihatan di jalan raya.

Usaha Bernama untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak pengurusan bas itu Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan juga gagal.

Bernama juga turut menerima satu pesanan suara di aplikasi WhatsApp yang mendakwa operasi bas henti-henti tergendala pagi ini berikutan mogok yang dilancarkan oleh pemandu bas.

Cityliner adalah anak syarikat Konsortium Transnasional Bhd (KTB).

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here