Porsche Macan GTS, model Macan paling sporti dilancarkan

1774

Porsche telah melengkapkan rangkaian model Macan dengan versi paling sporti, Macan GTS yang baru membuat pelancaran globalnya.

SUV itu diberikan enjin berkuasa, casis berinspirasi sukan permotoran, rekabentuk menyerlah dan kelengkapan yang dipertingkat.



Di bawah hud ialah enjin 2.9-liter V6 bi-turbo seperti pada Macan Turbo, yang menghasilkan 380hp iaitu 20hp lebih dari Macan GTS generasi sebelum ini.

Tork pula ialah 520Nm, boleh didapati dari 1,750 hingga 5,000rpm.

Dipadankan dengan transmisi PDK dwi-klac dan pakej Sport Chrono, enjin ini mampu melonjakkan Macan dari pegun ke 100km/j dalam masa 4.7 saat sahaja. Pecutan ini boleh diberikan sehingga kelajuan maksima 261km/j.

Seperti juga model-model GTS lain yang memfokus kepada dinamik dan hubungan pemanduan, Macan GTS dilengkapi dengan Porsche Active Suspension Management (PASM) yang mempunyai penyerap hentak ditala semula dan 15mm lebih rendah.

Suspensi adaptif pula diberikan sebagai pilihan tambahan, dan boleh merendahkan lagi casis sebanyak 10mm.

Digabungkan dengan rim RS Spyder 20-inci dan brek yang besar, Macan GTS ini pasti mempunyai kelincahan dan tindakbalas seperti sebuah kereta sports sebenar.

Untuk pemanduan lebih sporti, pembeli boleh memilih untuk menaiktaraf kepada Porsche Surface Coated Brake (PSCB) dengan salutan tungsten karbid atau Porsche Ceramic Composite Brake (PCCB).

Untuk lebih pengalaman pemanduan, bunyi sporti diberikan oleh sistem ekzos sports yang menggemakan enjin V6 biturbo padanya.

Dari segi penampilan, Porsche Macan GTS boleh dibezakan dengan pakej Sport Design yang merangkumi trim depan dan belakang baharu, skirt tepi menyerlah, dan apron depan yang dicat hitam – identiti model GTS.

Ia turut mendapat lampu LED dengan Porsche Dynamic Light System (PDLS) dan lampu belakang bertinta gelap.

Di dalam, balutan kulit Alcantara dan aluminium menghiasi panel tengah, konsol tengah dan panel pintu. Kelengkapan lain adalah balutan kulit Carmine Red atau Crayon, roda stereng sports, tempat duduk sports, sistem audio BOSE dan pengecaj telefon tanpa-wayar.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here