Mitsubishi sememangnya terkenal dengan pelbagai model yang boleh dikira legenda seperti GTO, Eclipse, Evolution dan Galant VR4. Tetapi hari ini, jenama itu hanya mengeluarkan model biasa seperti Mirage, ASX, dan Eclipse Cross.
Jadi bagaimana Mitsubishi ingin kembali kepada zaman kegemilangannya? Ada yang berpendapat bahawa mereka perlu menghidupkan semula nama yang sinonim dengan kaki kereta dan dunia rali, yakni Galant VR4.
Rekabentuk dinamik
Dengan pembeli kini ke arah SUV, menarik mereka semula kepada sedan bukanlah satu tugas mudah. Namun, tiada yang mustahil. Menurut pendapat Carscoops, ianya dengan penggayaan menarik dan menyerlah.
Rekabentuk depan menggabungkan elemen masa lepas dan masa kini dengan perkara menonjol seperti gril terbahagi dua dan ruang udara bawah, bahasa rekaan Dynamic Shield, serta lampu depan LED laser.
Fender depan dan belakang mestilah mempunyai stance yang gagah, ditambah dengan kontur pintu berlekuk dan pemijak tepi yang agresif.
Kawasan greenhouse pula mempunyai kesan floating roof, dengan tiang-A hitam dan porfil fastback yang sporti. Bahagian belakang mempunyai ekzos quad, spoiler duck tail dan diffuser seperti RS6.
Sumber kuasa PHEV
Galant sebelum ini menggunakan enjin V6 4-silinder tradisional dan enjin DOHC turbo berjiwa rali yang menjadi asasi kepada siri Evolution.
Walaubagaimanapun, Carscoops mencadangkan sumber kuasa yang tidak begitu sama dengan Galant sebelum ini, sebaliknya menggunakan PHEV (plug-in hybrid) seperti pada konsep MI-TECH di Tokyo Motor Show pada Oktober lepas.
Tidak menggunakan sistem hibrid yang menggabungkan enjin petrol atau diesel untuk menghantar kuasa ke roda belakang, sebaliknya ia menggabungkan generator turbin gas yang cekap untuk memberi kuasa kepada pek bateri dan empat motor elektrik.
Kawalan seperti 4WD
Salah satu dari kelebihan mempunyai empat motor elektrik ialah kebolehan mengintegrasikan motor depan dengan belakang dan kawalan hala-tuju.
Menurut Mitsubishi, ia menggunakan kaliper brek elektrik untuk kawalan cepat dan tepat untuk pecutan dan brek dan membantu belokan serta cengkaman.
Tidak seperti pengeluar lain yang menggabungkan sistem pacuan semua-roda (AWD) mereka dengan transmisi yang ‘merompak’ kuasa dan tork di saat anda memerlukannya, kaedah ini membolehkan jumlah kuasa yang tepat dihantar ke setiap roda.
Persaingan
Sudah tentu Subaru Legacy akan menjadi pesaing terdekat Galant, walaupun sebuah sedan keluarga dengan AWD yang sangat baik, ia tidak mempunyai sebarang tawaran elektrifikasi.
Pesaing lain yang mungkin boleh diambilkira adalah Tesla Model 3, Mazda6, Honda Accord, Toyota Camry, Nissan Altima dan Peugeot 508.
Jadi, apa pendapat anda? Patutkah Galant kembali atau Mitsbushi patut terus biarkan ia terkubur?