Pandu uji: Renault Megane RS 280 Cup – Matang tetapi masih nakal [+video]

3795

Jika anda lihat pada Renault Megane RS sebelum ini, ia sebuah model yang agak serius dan hardcore; 3-pintu, suspensi keras, dan hanya boleh didapati dengan transmisi manual.

Namun Renault telah melancarkan Megane RS serba baharu yang kini 5-pintu dan boleh didapati dengan pilihan transmisi automatik dwi-klac. Jadi, adakah Renault Megane RS ini telah menjadi sedikit ‘lembut’ dan tidak lagi hardcore?



Sebenarnya, ia masih hardcore malah lebih berupaya dari sebelum ini. 280hp dan 390Nm dihamburkan dari enjin baharu 1.8-liter, automatik dwi-klac EDC yang pantas, limited-slip differential (LSD), teknologi 4CONTROL dan pecutan 0-100km/j kurang 6 saat.

Semua ini antara ‘resepi’ yang menyumbang kepada prestasinya lalu menjadikan Renault Megane RS ini jentera pacuan roda-depan (FWD) produksi terpantas di litar-litar seluruh dunia seperti Nurburgring, Spa-Francorchamps dan terbaharu, di Suzuka.

Adakah Megane RS ini cukup mantap jika dibandingkan dengan Volkswagen Golf GTI, Honda Civic Type-R, Peugeot 308 GTi (yang kurang menyerlah di sini) dan Hyundai i30 N?

Pemanduan mengujakan dari teknologi Renault Sport

Selain LSD, Megane RS turut mendapat brek Brembo, spring dan penyerap hentak khas, suspensi hydraulic bump stop yang diinspirasi dari sukan rali, dan casis Cup yang lebih teguh dan keras untuk kawalan optima.

4CONTROL pula ialah sistem stereng empat-roda, yang pertama dalam kelasnya. Ia menjamin kelincahan di kelajuan rendah dan kestabilan selekoh di kelajuan tinggi.

Anda tidak seharusnya ‘terpedaya’ dengan gaya 5-pintu pada Megane ini, kerana ia mampu menjadi jentera touge dan track day setanding dengan pesaing-pesaingnya.

Paparan instrumen digital di depan pemandu akan berubah dari paparan meter tradisional kepada paparan seperti jentera lumba apabila mod pemanduan Sport atau Race digunakan.

Tempat duduknya agak terlalu tebal bolster di tepi, kurang selesa jika dibandingkan dengan tempat duduk Type-R atau Golf GTi. Tetapi perasaan itu hilang apabila anda di selekoh dengan kelajuan tidak masuk akal, kerana ia mmeberi sokongan dan ‘memegang’ badan anda dengan baik.

Enjin turbo 1.8-liter sangat bertenaga, menghantar kuasa dengan sedikit tujahan ekstra di tengah-tengah rangkaian rpm, sedikit seperti enjin turbo old-school.

Transmisi EDC pula seperti dijangkakan, memberikan penukaran gear yang sangat cepat dan lancar. Ia siap dengan letupan dan ‘kentut’ di ekzos semasa upshift dan bunyi seperti rekahan semasa downshift. Tetapi, bunyi pada ekzos Mercedes-AMG A45 lebih kasar.

Casis Megane RS merupakan antara aspek paling baik pada kereta ini yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Ia memerlukan pemanduan yang menghampiri had mekanikal kenderaan untuk anda hargainya.

Talaan roda stereng, suspensi, stereng empat-roda 4CONTROL, gaya perjalanan kereta di pelbagai permukaan dan sensasi diselekoh memberikan impresi bahawa casis Megane RS ini sangat teguh dan memberi keyakinan kepada kebanyakan pemandu.

Rekabentuk luaran Renault Megane RS ini pada penulis sangat cantik dan ‘segar’. Civic sudah berada merata tempat, Golf pula dari jauh sukar dibezakan sama ada R tulen, R-Line atau GTi. Megane ini sekali lihat, mata anda akan melekat padanya dan anda akan terus tahu ia sebuah kereta yang istimewa.

Untuk dalaman, ada yang mengatakan terlalu banyak plastik keras dan tidak setaraf dengan penampilan dan prestasinya. Namun bagi penulis, rekaan dan penggunaan bahan sangat memadai dan cukup baik dari segi kualiti binaan dan penggunaan bahan.

Cuma susun atur kawalan memerlukan sedikit masa untuk dibiasakan. Biasalah kereta Perancis…

Hot hatch terbaik dalam kelasnya?

Adakah Megane RS ini lebih baik dari pesaingnya? Sukar untuk berkata “ya”.

Ini kerana terdapat beberapa kejanggalan padanya yang membuatkan model seperti Civic Type-R dan Golf GTi terasa lebih rasional.

Tetapi ia sangat sesuai untuk anda yang memerlukan kelainan; mampu dipandu seharian dan mampu memberi kepuasan naik Genting melalui Ulu Yam di pagi Ahad.

Dan soalan lebih penting, adakah ia masih Renault Sport sebenar? Ya, dan lebih baik dari versi sebelumnya. Ia sudah matang namun masih nakal!

 

Spesifikasi Renault Megane RS 280 Cup EDC

Harga: RM299,888
Enjin: 1,798cc, 4-silinder turbo, DOHC dengan VVT
Kuasa maksima: 280 hp @ 6,000 rpm
Tork maksima: 390 Nm @ 2,400 rpm
Transmisi: Automatik 6-kelajuan dwi-klac
Sistem suspensi: Topang MacPherson (depan), multi-link (belakang)
Sistem keselamatan: 6 beg udara, ABS, EBD, Stability Control, Blind Spot Information System, ISOFIX, Tyre Pressure Monitoring System

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here