Perlumbaan 20 pusingan bagi musim 2020 dianggap satu cabaran baharu buat pelumba Petronas Sprinta Racing, Khairul Idham Pawi atau digelar SuperKIP yang kembali beraksi dalam kelas Moto3 selepas kali terakhir pada 2016.
“Untuk tahun ini, saya boleh katakan agak mencabar kerana dalam satu musim ada 20 perlumbaan. Apapun, saya akan cuba mengekalkan momentum, kecergasan dan fizikal. Saya akan cuba melakukan yang terbaik untuk tahun ini,” kata Khairul Idham.
Pelumba berusia 21 tahun itu hanya melengkapkan tiga pusingan awal pada saingan Moto2 tahun lalu selepas mengalami kecederaan serius di bahagian jari kelingkingnya di Grand Prix (GP) Sepanyol sehingga memerlukan dua kali pembedahan.
“Kecederaan jari setakat ini alhamdulillah OK. Tak ada apa yang menghalang (pergerakan) saya, cuma jari (kelingking) tak boleh bengkok,” katanya yang pernah melakar sejarah meraih dua kemenangan dalam kelas Moto3 di GP Argentina dan Jerman, empat tahun lalu.
Khairul Idham atau dikenali SuperKIP berkata, buat tempoh awal ini dia sedikit kekok dengan corak tunggangan Moto3. Namun, dia mampu mempamerkan peningkatan ketika sesi ujian di Litar Jerez, Sepanyol, November lalu.
“Bagi saya, selepas tiga tahun tidak menunggang motosikal Moto3, memang sedikit kekok. Ini kerana corak tunggangan Moto2 dan Moto3 agak berbeza. Ujian yang saya lalui di Jerez OK dan saya mampu menunjukkan peningkatan setiap kali keluar melakukan pusingan.
“Cuma ketika itu, cuaca tidak berapa elok kerana hujan dan angin kuat. Apapun saya akan cuba melakukan lebih banyak peningkatan pada sesi ujian akan datang,” katanya. Dia bakal mengharungi ujian seterusnya di litar sama pada 19 hingga 21 Februari ini sebelum di Litar Losail, Qatar, 28 Februari hingga 1 Mac ini.
Pusingan pertama bagi musim 2020 akan membuka tirai di Litar Losail pada 8 Mac dengan Litar KymiRing menjadi destinasi baharu dalam kalendar tahun ini pada 12 Julai nanti.