Walaupun pelbagai peringatan diuar-uarkan pasukan keselamatan termasuk tindakan saman supaya penunggang motosikal manfaatkan laluan khas kenderaan itu di beberapa lebuh raya di Lembah Klang, namun ia dilihat umpama ‘mencurah air ke daun keladi’.
Tinjauan di Lebuhraya Persekutuan mendapati walaupun kebanyakan penunggang motosikal patuh dan manfaatkan laluan khas disediakan. Namun, masih banyak yang sanggup mempertaruhkan nyawa dengan menggunakan jalan utama.
Keadaan sama juga berlaku di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE). Penunggang motosikal dilihat selesa menggunakan jalan utama tanpa menghiraukan risiko tatkala bersaing dengan kenderaan berat.
Sudah masuk tahun baharu 2020, namun sikap penunggang motosikal yang masih degil itu tidak asing dalam kalangan pengguna lebuh raya. Malah, ia menjadi rutin kepada golongan berkenaan yang bukan sahaja berani ‘mencelah’ di antara kereta tetapi juga lori.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Supt Azman Shari’at berkata pelbagai alasan sering diberikan oleh penunggang motosikal setiap kali penguatkuasaan dilakukan di lebuh raya terbabit.
Azman berkata walaupun polis perlu menguatkuasakan undang-undang, namun pihaknya perlu mengambil kira keselamatan anggota apabila terpaksa ‘mencelah’ di antara kenderaan bergerak yang dilihat sangat berbahaya.
Berikutan kemalangan maut membabitkan motosikal lebih tinggi berbanding kenderaan lain, Azman menasihatkan pengguna jenis kenderaan itu supaya sentiasa mematuhi undang-undang. Selain itu, mereka juga perlu berhemah ketika di jalan raya dan sentiasa menggunakan laluan khas.
Justeru itu, katanya, mana-mana pihak digalakkan mengemukakan cadangan yang lebih berkesan supaya undang-undang sedia ada dapat dipinda. Ini untuk memastikan penunggang motosikal sentiasa menggunakan laluan khas kenderaan tersebut.
“Jika ada cadangan (daripada mana-mana pihak) yang boleh menangani masalah penunggang motosikal (tidak mematuhi peraturan untuk menggunakan laluan khas), kami bersedia untuk menelitinya. Ini kerana buat masa ini polis hanya menguatkuasakan undang-undang sedia ada (saman),” katanya.