Pasukan Viper Niza Racing akan mempertaruhkan tiga jentera pada TCR Malaysia Touring Car Championship 2020 nanti. Pasukan itu akan dikepalai ketua pemandu, Douglas Khoo dan diperkukuhkan dengan penyertaan adik-beradik muda Gilbert dan Freddie Ang.
Kempen musim 2020 mereka dimulakan dengan perlumbaan dua pusingan di Litar Antarabangsa Sepang pada 17 dan 18 Januari ini. Kesemua jentera adalah terdiri daripada SEAT Leon Cupra TCR.
Pada musim lepas, Khoo menamatkan perlumbaan kategori Cup Class di tempat ke-4 dan ke-6 keseluruhan.
Berbekalkan satu jentera, pasukan itu berada di tempat ke-4 kategori pengeluar, di belakang Volkswagen, Hyundai dan Honda.
Khoo berkata, “Dengan tiga kereta musim ini, kami di kedudukan lebih baik untuk memberikan cabaran dan berharap memperoleh kejuaraan keseluruhan”.
Khoo baru sahaja berentap dalam WTCR World Touring Car Race di sini pada Disember lepas dan terdahulu, menjuarai kelasnya dalam perlumbaan ketahanan TCR SPA500 24-Hour di Belgium.
Gilbert Ang, adik kepada Freddie Ang menyertai Viper Niza Racing dan TCR Malaysia dengan rekod cemerlang dalam karting dan perlumbaan kereta sedan.
Dia merupakan juara kategori junior dalam pelbagai kelas karting sebelum beralih ke perlumbaan kereta sedan dalam Malaysia Merdeka Endurance Race pada 2014. Gilbert juga memenangi 2015 Caterham Championship dan menamatkan Sepang 12-Hours Endurance Race di tempat ke-5 kelas GTC.
Abangnya, Freddie merupakan calon juara untuk Toyota Vios Challenge musim ini. Pelumba berumur 26 tahun itu tamat di tempat ke-7 dalam Sepang 1,000km Endurance 2013, tempat ke-3 dalam JK Asia Racing 2011, tempat ke-6 dalam Rotax Max Asia 2010 dan ketiga dalam Yamaha SL Cup 2010.
Pusingan 3 dan 4 TCR Malaysia Touring Car Championship akan berlangsung pada 14-16 Februari manakala pusingan akhir pada 28 Februari hingga 1 Mac ini, semuanya di Litar Sepang.