Toyota labur RM1.6 bilion untuk syarikat teksi terbang

1615

Toyota Motor Co melabur USD394 juta (RM1.6 bilion) dalam Joby Aviation, antara syarikat yang membangunkan teksi elektrik udara untuk kegunaan orang ramai di lebuh raya dan jalan bandar.

Toyota menjadi pelabur utama pendanaan Siri C dalam Joby dengan jumlah USD590 juta (RM2.4 bilion) bersama Baillie Gifford dan Global Oryx, selain Intel Capital, Capricorn Investment Group, JetBlue Technology Ventures, SPARX Group serta unit pelaburan Toyota, Toyota AI Ventures.



Perjanjian itu setakat ini menjadikan syarikat yang berpangkalan di Santa Cruz, California sebagai syarikat pemula niaga penerima dana terbaik “eVTOL” dalam kategori paling menyerlah.

Namun, syarikat itu perlu mengatasi halangan peraturan dan kebimbangan tentang kepentingan keselamatan penumpang serta bunyi bising, bagi memastikan dana berkenaan meningkat kepada USD720 juta (RM2.93 bilion).

“Pengangkutan udara menjadi matlamat jangka panjang Toyota. Walaupun kami akan meneruskan usaha dalam perniagaan automotif, perjanjian ini menetapkan wawasan kami lebih jauh,” kata Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Toyota, Akio Toyoda.

“Dengan kami menyahut cabaran dalam pengangkutan udara bersama Joby iaitu penginovasi dalam ruang eVTOL, kami memanfaatkan potensi untuk merevolusikan pengangkutan dan kehidupan masa depan.”

Sejak beberapa tahun lalu, gergasi automotif berusia 82 tahun itu memiliki minat mendalam dalam pengangkutan berteknologi futuristik.

Tahun lalu, syarikat itu menyokong Recogni Inc, penyedia sistem pengangkutan berautonomi; dan May Mobility, pengendali bas henti-henti pemanduan berautonomi berpangkalan di Ann Arbor, Michigan.

Pada Pameran Teknologi Konsumer (CES) awal bulan ini, Toyota mengumumkan rancangannya untuk membina komuniti seluas 70.82 hektar atau ‘Woven City’, di kaki Gunung Fuji untuk mempamerkan kereta pemanduan autonomi dan inovasi lain dalam pengangkutan.

Joby adalah peserta yang terbabit dalam pasaran teksi udara seperti Airbus SE; Hyundai dan Uber Technologies Inc; Kitty Hawk-Boeing Co; dan Volocopter-Zhejiang Geely Holding Group Co.

Selain itu dari pengumuman mengenai dana, Joby turut memperkenalkan imej prototaip pengangkutan udara yang kelihatan seperti dron saiz besar dengan enam kipas dan berkemampuan terbang 241.4 kilometer (km) dalam sekali cas dan kelajuan sehingga 321.8 km/j.

Syarikat berkata, kenderaan udara itu boleh menampung empat penumpang dan pemandu.

Sumber: Bloomberg

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here