Nafsu datang dalam berbagai bentuk, dan untuk pemandu tegar, nafsu memandu kereta sporti, menukar gear sendiri dan sensasi orkestra dari ekzos perlu dipuaskan.
Porsche membuka tirai 2020 dengan 718 Cayman GTS 4.0 dan 718 Boxster GTS 4.0, khas untuk tujuan di atas.
Ini kerana kedua-dua kereta sports ini didatangkan dengan dua benda paling dipuja oleh peminat Porsche pada masa ini, iaitu enjin naturally-aspirated 4.0-liter flat-six dan transmisi manual 6-kelajuan.
Sesetengah dari anda mungkin merasakan 718 Cayman GT4 dan 718 Boxster Spyder agak ekstrim, maka pasangan GTS 4.0 ini ialah Porsche paling sesuai untuk anda.
Enjin 4.0-liter flat-six pada model-model ini menjana 394hp dan 419Nm tork, dengan redline pada 7,800rpm.
Sebagai perbandingan, enjin yang sama pada Cayman GT4 dan Boxster Spyder adalah sedikit lebih berkuasa, menghasilkan 414hp dan 432Nm tork.
Menurut Porsche, talaan enjin 4.0-liter pada Cayman GTS dan Boxster GTS ini mampu memberikan pecutan 0-96 km/j dalam 4.3 saat dan kelajuan maksima 293km/j.
Model 718 GTS 4.0 ini hadir dengan ciri prestasi yang agak banyak sebagai standard. Porsche Active Suspension Management (PASM) merendahkan kenderaan ini 20mm dari model biasa.
Ia turut mendapat Porsche Torque Vectoring (PTV) dengan LSD mekanikal. Brek depan berukuran 350mm dan belakang 330mm. Hendak lebih lagi? Pilih brek seramik-komposit.
Porsche 718 GTS 4.0 boleh dibezakan dari kemasan luar seperti spoiler lip depan hitam, kemasan depan hitam, dan rekabentuk bampar depan baharu. Rim pula ialah 20-inci dengan kemasan hitam.
Di dalam, 718 GTS 4.0 mendapat sentuhan sporti seperti tempat duduk Porsche Sport Seats Plus, serta saduran Alcantara pada tempat duduk, roda stereng, konsol tengah, tombol gear dan panel pintu. Untuk Cayman, Alcantara turut diberikan pada tiang-A dan siling bumbung.
Porsche 718 Cayman GTS 4.0 dan 718 Boxster GTS 4.0 akan mula dijual di Amerika Syarikat pada musim panas (pertengahan) tahun ini dan di rantau-rantau lain kemudian.
Porsche masih belum mendedahkan harganya, tetapi kita boleh jangkakan ia berharga lebih mahal dari model T dan lebih murah dari varian GT4/Spyder.