U
MW Toyota Motor (UMWT) hari ini mengumumkan pengenalan MPV premium Toyota Alphard dan Toyota Vellfire yang dipertingkatkan bagi tahun 2020.
Tempahan pra-pelancaran juga mula dibuka hari ini disemua pengedar sah Toyota serta cawangan UMWT seluruh negara.
Model terbaru ini akan dijual pada harga bermula RM383,000 bagi Vellfire (satu varian) dan RM464,000 bagi Alphard (dua varian).
Empat warna luaran disediakan untuk jentera ini yaitu Luxury White Pearl CS GF (hanya bagi Alphard 3.5 Executive Lounge dan Alphard 3.5L); Burning Black CS GF (hanya bagi Vellfire 2.5L) dan White Pearl C, Graphite Metallic serta Black (bagi kedua-dua model).
Toyota Alphard dan Vellfire 2020 terbaru ini telah diberikan peningkatan dari aspek sistem canggih yang ditambah berkaitan keselamatan dan capaian hubungan.
Ini selari dengan Strategi Pengalaman Jenama 360-darjah Baru oleh UMWT yang memberi penekanan kepada aspek Safe-T dan Connectivi-T.
Tambahan sistem baru termasuk:
- Toyota Safety Sense (TSS)
- Sistem Brek Sokongan Parkir
- Sistem Infotainmen AVX 9-inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto-Tersedia
- Perakam Video Digital (DVR) depan dan belakang
- Sistem Telematik Kenderaan (VTS)
- Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS)
Selain ciri Peninjau Pandangan Panoramik (PVM) yang membolehkan pemandu memantau sekeliling kenderaan, DVR di depan dan belakang akan merakam visual secara berterusan. Di dalam situasi yang memerlukan, rakaman berkenaan boleh menjadi bahan bukti berguna kepada pemilik kenderaan.
Dari segi rekaan, Alphard mengekalkan konsep “Dynamic & Formal” untuk memberikan MPV berkenaan sebuah imej mewah dan perkasa. Konsep bagi Vellfire pula ialah “Cool Tech”, memberikan identiti unik bagi model berkenaan.