Tak banyak kereta hatchback yang mempunyai lebih dari 300hp kerana menghantar lebih dari 250hp hanya ke tayar depan akan memerlukan suspensi depan yang sofistikated dan tayar berprestasi tinggi.
Sesetengah darinya mendapat pacuan semua-roda (AWD) untuk menghantar kuasa dengan lebih berkesan dan membuatkannya lebih mudah dipandu.
Maka sebab itulah Mercedes-AMG A 45 (355hp) dan VW Golf R Mk7.5 (287hp) dilengkapi AWD. Namun ada juga yang tetap ‘berdegil’ menggunakan pacuan roda-depan sahaja, seperti Civic Type-R (310hp) dan Renault Megane RS 280 (280hp).
Baik, kini ada satu lagi ahli terbaharu dalam “Kelab 300”, iaitu MINI JCW Clubmab 306HP. Mesti anda tak sangka ia sebuah MINI, bukan?
Perisa JCW pada ‘hatchback keluarga’
John Cooper Works atau singkatannya JCW ialah divisyen sport untuk MINI yang lazimnya memberikan talaan istimewa mereka untuk MINI Cooper 3-pintu lantas memberinya taraf hot hatch dan duduk sekali dengan model-model lain yang disebut di atas.
Walaupun versi JCW pernah dibuat pada Countryman dan Clubman, ia tidaklah begitu serius. Kali ini, kedua-dua model ini mendapat talaan JCW dan enjin paling berkuasa pernah dihasilkan oleh MINI.
Enjin 2.0-liter TwinPower Turbo kini menjana 306hp dan tork menggunung sebanyak 450Nm, lebih dari yang diperlukan sebenarnya. Tetapi jika boleh, mengapa tidak, kan?
Enjin padu ini dipasang pula dengan transmisi automatik Steptronic 8-kelajuan dan sistem pacuan semua roda ALL4. Ini membolehkan MINI JCW Clubman 306 memecut dari 0-100km/j dalam 5.1 saat sahaja.
Pecutan ini lebih pantas dari Civic Type-R dan Golf GTi. Amacam?
Oh ya, semua padanan drivetrain ini dari enjin 2.0-liter turbo, transmisi dan sistem pacuan adalah sama dengan BMW M135i xDrive yang mungkin tiba ke Malaysia tidak lama lagi. Jadi adakah MINI ini sekadar BMW dengan “kulit” lain?
Kita akan ketahui di hujung artikel ini.
Rupa unik dan menonjol
Ciri paling unik pada MINI JCW Clubman ini (dan Clubman lain umumnya) ialah pintu belakangnya yang seperti pintu almari. Ia bukanlah paling praktikal, tapi bila anda membeli kereta sebegini – dengan saiz dan harga ini – pasti anda mementingkan aspek lain seperti gaya dan kelainan.
Bagi penulis pun, pintu ini sahaja pun sudah cukup untuk menjadi faktor penentu membeli Clubman ini.
Kebiasaannya kereta MINI mudah menjadi perhatian apabila ia lalu melewati tepi kedai mamak yang anda sedang lepak atau di depan pusat beli belah. Ini kerana gayanya yang klasik, funky dan disertakan dengan kombinasi warna dwi-tone yang menyerlah.
Pada satu tahap, kenderaan-kenderaan MINI nampak agak comel dan feminin, tetapi tidak dengan Clubman JCW ini.
Segala aspek seperti gril, ruang udara, rim, brek, pelekat badan, dan ekzos menunjukkan bahawa ini bukan jentera biasa. Ia nampak lebih istimewa dan serius. Oh ya, lampu belakangnya berbentuk bendera Union Jack. Cool kan?
Dan harus diakui MINI JCW Clubman ini walaupun berprestasi tinggi, tetap merupakan kereta yang sangat bergaya dan stailo dipandu di kawasan urban. Rasa seronok pula melihat reaksi orang sekeliling yang memerhatikan kereta ini.
Kabin trademark MINI
Sekilas pandang, anda yang biasa memandu MINI akan terasa familiar dengan kabin Clubman ini. Ya, tiada banyak perubahan, cuma kemasan JCW di beberapa tempat.
Antaranya di bahagian bawah dan jahitan roda stereng, balutan kulit unik, pemijak tepi pintu dengan tulisan John Cooper Works, dan kemasan seperti gentian karbon di papan pemuka.
Tempat duduknya keras dan bolster tepinya bersegi. Semacam tidak selesa pada saat awal, tetapi anda akan menghargainya apabila mula memandu laju.
Paling penulis sukakan di kabin ini ialah barisan suis krom di bawah kawalan pendingin hawa yang kelihatan seperti suis-suis dalam pesawat. Bukan sahaja nampak kemas dan cantik, malah semua suis ini terasa mahal dan berkualiti bila digunakan.
Untuk sistem infotainmen, seperti biasa ia mempunyai perumah bulat dan kandungan berwarna yang funky, sesuai dengan jiwa MINI. Fungsi Apple CarPlay juga sangat mudah diguna dan disambung pada telefon pintar.
Juga antara yang penulis suka adalah paparan Head Up Display di depan stereng yang memaparkan maklumat-maklumat penting dengan jelas.
Bread van paling laju?
Harus dikatakan, penulis tidak terasa begitu banyak perbezaan Clubman JCW ini dengan Countryman JCW, melainkan Clubman lebih rendah. Mungkin perbezaan hanya terasa apabila mengambil selekoh pada kelajuan yang sangat tinggi.
Apa pun, Clubman JCW ini tetap terasa lincah, dengan pedal yang responsif serta stereng yang begitu ‘hidup’ dan memberikan banyak maklumbalas. Stereng ini juga mungkin sedikit berat berbanding kebanyakan kereta moden, namun tidak susah untuk anda biasakan diri.
Walaupun ‘hanya’ menggunakan tayar Continental PremiumContact 6 iaitu sejenis tayar touring dan bukan UHP (ultra high performance), had cengkaman sudah terasa begitu tinggi dan lebih dari mencukupi. Cuma sedikit understeer jika anda tekan pedal rapat ke lantai sambil membelok.
Jika anda benar-benar mahu mengejar A 45 atau Civic Type-R semasa touge, upgrade sahaja tayar. Cukup.
Selain enjin yang padu dan pengendalian mantap, brek juga sama tinggi prestasinya. Ia mudah dikawal pada kelajuan rendah (seperti dalam trafik contohnya) dan memberikan keyakinan jika diminta khidmatnya dari kelajuan tinggi.
Lihat sahaja breknya ini di celah rim depan itu, memang rupa dan saiz macam pada sports car!
Mengapa penulis katakana ia bread van paling laju? Ya lah, pintu almari di belakang Clubman ini seperti lori roti di negara mat salleh dan sudah tentu kereta ini lebih laju dari lori-lori itu.
Dari segi ride atau gaya perjalanan, dalam kata mudah, ia sangat syok untuk pemandu, tetapi mungkin menerima rungutan dari penumpang belakang. Ia memang sedikit keras.
Jadi, adakah MINI ini sekadar BMW M35i xDrive dengan “kulit” lain? Tidak juga, selain dari berkongsi powertrain, MINI JCW Clubman turut mempunyai karakter sendiri. Sebagai contoh sistem ekzosnya adalah unik dari JCW, jadi sudah tentu bunyi pun berbeza.
MINI JCW Clubman 306HP kini boleh menjadi satu lagi alternatif jika anda mahukan sebuah hatchback yang mampu bersaing dengan Civic Type-R dan AMG A 45, tetapi tidak mahu rupa yang all-out atau terlalu gila.
Cuma pada RM358,888, ketiadaan ciri keselamatan aktif maju seperti Active Emergency Braking atau Lane Departure Warning terasa agak kurang nilai untuk wang. Jika Clubman ini diberikan ciri seperti disebut, mungkin harganya terasa seperti pakej lebih baik.
Spesifikasi MINI JCW Clubman 306HP
Harga: RM358,888
Enjin: 1,998cc, 4-silinder turbo, DOHC dengan VVT
Kuasa maksima: 306 hp @ 5,000 rpm
Tork maksima: 450 Nm @ 1,750 rpm
Transmisi: Automatik 8-kelajuan
Sistem suspensi: Topang MacPherson (depan), multi-link (belakang)
Sistem keselamatan: 6 beg udara, ABS, EBD, Stability Control, ISOFIX