Nissan GT-R R35 bukanlah supercar baharu, ia telah berada dalam pasaran sejak 2007, hampir 13 tahun sekarang.
Selain ditambahbaik secara berterusan oleh Nissan, kita juga pasti telah melihat pelbagai variasi dan cara modifikasi Godzilla ini mengikut selera dan citarasa pemiliknya.
Namun kali ini, Nissan GT-R ini diubahsuai menjadi sesuatu yang agak istimewa dan unik. Bukan sekadar untuk kosmetik, tetapi tujuan khas.
Ini ialah GT-R R35 versi kereta kamera. Dan ia digunakan untuk penggambaran sebuah lagi GT-R, iaitu GT-R Nismo 2020.
Nak buat penggambaran kereta laju, mesti lah perlu kereta kamera sama laju, bukan?
Untuk projek penggamabaran ini, Nissan telah melantik Mauro Calo – pemandu profesional yang telah menghasilkan rakaman aksi blockbuster seperti Mission Impossible – dan krewnya untuk tujuan ini.
Mauro dan pasukannya telah menanggalkan beberapa bahagian kereta itu untuk mengimpal struktur sokongan kamera kepada struktur pelanggaran di bahagian tulang GT-R itu.
Barangan kamera dan penggambaran seperti lengan, gimbal dan sebagainya pasti agak berat, jadi ia perlu dipasang pada struktur badan kereta yang kuat.
Oh ya, ingin tahu mengapa kereta kamera biasanya berwarna hitam legap (matte black), tonton video ini.
Kereta kamera GT-R ini juga perlu menempatkan empat krew di dalamnya; Mauro sebagai pemandu, seorang operator gimbal, seorang pengawal fokus dan pengarah. Menariknya, GT-R ini dapat memenuhi kriteria-kriteria ini.
“Saya telah mengubah GT-R ini menjadi kereta kamera berkelajuan tinggi dan telah menggunakannya untuk penggambaran antara kereta terpantas di litar, saya kagum dengan prestasi, ketahanan dan kestabilannya.
Mauro menambah, “Ia sentiasa mengagumkan saya dan pasukan setiap kali kami menggunakannya.”