Bintang bola sepak terkemuka di dunia, Cristiano Ronaldo dikenali mempunyai koleksi kereta mewah yang mengagumkan. Koleksi kereta mewah pemain Juventus ini telah bertambah dengan kehadiran Brabus G V12 900.
Model diasaskan dari Mercedes-Benz G-Class ini dibuat terhad hanya 10 unit di seluruh dunia yang berharga USD670,000 (RM2,771,522). Jentera ini diberi sebagai hadiah sempena hari lahirnya yang ke-35 daripada teman wanitanya, model Sepanyol iaitu Georgina Rodriguez.
Wanita cantik ini berkongsi detik gembira itu menerusi video pendek di Instagram yang mempunyai 16.2 juta pengikut. Sejak video itu dimuat naik, ianya ditonton hampir 9.5 juta tontonan. Penyerang Portugal itu dilihat mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyanyikan lagu ‘Happy Birthday’ kepadanya.
Diperkenalkan di Frankfurt Motor Show 2019, Brabus G V12 900 dikuasakan oleh enjin V12 yang diperoleh dari Mercedes-Benz S600 L, dimana kapasitinya telah ditingkatkan dari 6.0 hingga 6.3 liter. Enjin ini mampu menghasilkan sehingga 887hp dan 1,500Nm tork.
Jentera dengan sistem pemanduan 4×4 (4WD) ini mampu memecut dari 0-100Km/j dalam masa 3.8 saat. Kelajuan maksimum jentera buatan Jerman ini mampu mencapai hingga 280km/jam.