Jika anda masih ingat, kisah dua beradik ini pernah tular suatu ketika dulu mengenai kekurangan modal untuk mereka membuka kedai santan sehingga terpaksa menjual motosikal kesayangan yang baru saja dibeli.
Motoqar menghubungi mereka untuk mengikuti perkembangan kedai santan sekarang dan kisah itu sangat memberi inspirasi kepada masyarakat termasuk kami sendiri.
Ternyata walaupun tanpa pengalaman, namun sekiranya keinginan untuk belajar itu ada, kejayaan akan berhasil atas berkat usaha yang dilakukan.
Begitu juga dengan kisah mereka, yang sanggup mengambil cabaran demi masa depan dan kedua orang tuanya. Ayahnya kini tidak mampu lagi untuk bekerja selepas terbabit kemalangan yang menyebabkan dia tidak mampu berdiri terlalu lama.
Muhammad Zaidi Umar, 21 dan abangnya, Muhammad Azizi Umar, 24, asalnya bekerja sebagai penghantar makanan di Kuala Lumpur sebelum mereka merancang untuk berniaga sendiri.
Pada awalnya mereka merancang untuk membuka kedai basuh kereta, namun hasil perbincangan bersama keluarganya mengenai peluang perniagaan santan kelapa, mereka nekad dan berhijrah ke kampung di Kuala Terengganu.
Biarpun tiada pengalaman dan pengetahuan mengenai santan kelapa, dan hanya berbekalkan RM200 dalam poket selepas membeli mesin dan peralatan untuk kelapa, hanya doa dan redha sahaja menjadi bekalan.
Nasib mereka baik kerana mendapat pertolongan terutama dari pembekal kelapa dan mesin yang banyak memberi tunjuk ajar mengenai proses santan kelapa.
Dan inilah yang dipanggil keberkatan dan dengan usaha tanpa jemu. Mereka sekarang mampu meraih pendapatan dari RM4,000 hingga RM6,000 sebulan walaupun baru empat bulan beroperasi!
Difahamkan juga, mereka dalam proses untuk menambah mesin baru disebabkan permintaan yang tinggi masyarakat setempat bagi santan kelapa. Tahniah kami ucapkan!
Semoga kisah mereka ini menjadi inspirasi kepada mereka di luar sana untuk terus berusaha walaupun pernah melalui saat kegagalan, dan utamakan ibubapa dalam setiap tujuan hidup kita.