Anak Malaysia jadi jurutera bendalir Mercedes-AMG Petronas baharu!

3205

Petronas sebagai satu nama besar dalam sukan F1, sejak dulu lagi telah biasa menghantar wakil teknikal dari Malaysia untuk pembangunan pasukan F1.

Terbaharu untuk kerjasama bersama pasukan Mercedes-AMG Petronas F1 Team, syarikat petroleum nasional itu memperkenalkan jurutera bendalirnya yang terkini.

En De Liow (kedua dari kiri).

En De Liow, seorang lagi rakyat Malaysia telah dipilih menggalas tugas mencabar itu. Beliau yang berumur 26 tahun itu telah dipilih kerana memenangi pencarian global untuk Petronas Trackside Fluid Engineer (PTFE) 2020.



Sebagai seorang ahli pasukan trackside Petronas, Liow akan memberikan sokongan berkaitan teknikal bendalir sepanjang musim kejuaraan tahun ini untuk pasukan juara dunia 6 kali itu.

Edisi kedua PTFE memerlukan peserta mengharungi pusingan sengit yang menguji pengetahuan teknikal, inter-personal, kemahiran berkomunikasi dan kerjasama.

Jurutera automotif itu meyakinkan para juri pada pusingan akhir pemilihan yang diakhiri dengan temuramah bersama Pengarah Urusan Kumpulan dan CEO PLI, Giuseppe D’Arrigo.

Giuseppe D’Arrigo

“Tahniah kepada En De kerana menjadi jurutera bendalir kami yang terkini. Sebagai sebuah organisasi, kami amat tekun dalam melabur kepada bakat-bakat muda untuk idea inovatif yang mereka bawakan kepada organisasi dan untuk pembangunan teknologi bendalir bertaraf tinggi kepada rakan kongsi kami dan pengguna,” kata D’Arrigo.

Tambahnya, “Untuk kekal berada dalam aksi Formula 1 ialah satu pengalaman seumur hidup yang akan memberi ganjaran padanya secara peribadi dan profesional, dan kami ucapkan selamat maju jaya kepada En De dan pasukannya untuk musim ini.”

PTFE menjalankan analisis prestasi di litar untuk bendalir di dalam enjin F1, memberikan maklumat real-time kepada pasukan mengenai keadaan dan kondisi komponen mekanikal Mercedes-AMG F1 W11 EQ Performance.

Mereka akan bekerja di makmal untuk semua aktiviti berkaitan bendalir pelincir di perlumbaan-perlumbaan seluruh dunia bersama saintis dan jurutera terbaik dalam bidang ini.

Sebagai rakan kongsi, Petronas telah bersama membangunkan Petronas Fluid Technology Solutions yang merangkumi produk bahan api Petronas Primax, minyak enjin Petronas Syntium dan Tutela, yang dihasilkan hasil kerjasama dengan pasukan F1 itu.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here