Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis akan membuka bidaan nombor pendaftaran kenderaan bagi siri RAF kepada orang awam pada 27 Februari sehingga 2 Mac depan.
Pengarahnya Fatimah Mohamed Ali Piah berkata, bidaan akan bermula pada 12 tengah malam Khamis depan sehingga 11.59 malam 2 Mac melalui sistem JPJeBid.
“Nombor kategori nilaian utama akan dibuka pada harga RM20,000 dengan kenaikan bidaan minimum adalah sebanyak RM1,000.
“Bagi nombor kategori menarik pula bermula pada harga RM3,000 dan kenaikan bidaan minimum adalah sebanyak RM150.
“Manakala kategori nombor popular dan nombor biasa masing-masing bermula pada harga RM800 dan RM300 dengan kenaikan bidaan minima sebanyak RM40 (nombor popular) dan RM15 (nombor biasa) bagi setiap nombor,” katanya.
Katanya lagi, bagi nombor siri RAF yang tidak dibida, orang ramai boleh mendapatkannya di Ibu Pejabat JPJ Malaysia atau di JPJ Perlis pada kadar dan harga yang ditetapkan.