Dunia pemotoran hari ni dikejutkan dengan seorang lelaki telah menjual helmetnya secara tukar suka sama suka dengan sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ Catalyzer (original).
Helmet tersebut adalah jenis Bell Magnum Ltd. Ada yang bersetuju dengan nilai harga helmet ini dan ramai juga yang mengecam brader ini dengan nilai harga helmet itu yang disifatkan tidak masuk akal.
Motoqar menghubungi sendiri pemilik helmet berkenaan yang dikenali sebagai Pokpa Zul untuk mengetahui kesahihan cerita ini.
Bagi pengetahuan semua helmet jenis ini adalah keluaran USA dan sangat susah dijumpai dan harganya pun sangat tinggi di pasaran hari ini.
Helmet Bell Magnum Ltd yang bersaiz besar terutama dari saiz 60cm ke atas dan jika dalam kondisi yang sangat baik, boleh didapati dengan harga yang mencecah RM10,000 ke atas di pasaran sekarang!
Pokpa Zul sebelum ini ingin menjual helmetnya untuk membeli sebuah motosikal RXZ dan menukar fikiran dengan hanya tukar suka sama suka disebabkan tiada pembeli tegar yang ingin terus membeli secara tunai.
Dan nasibnya baik apabila ada seorang pembeli yang berminat dan bersetuju untuk menukarkan motosikal RXZ-nya dengan helmet Bell Magnum Ltd tersebut! Fuh bukan biasa-biasa.
Setelah dipastikan, helmet Pokpa Zul memang dalam kondisi 9/10, pelekat helmet dan butang masih lagi dalam keadaan baik, span helmet masih lagi tebal, bersaiz 60 cuma ada calar-calar halus sahaja. Cap untuk helmet jenis Bell 520 disertakan sekali.
Motosikal yang ditukar adalah jenis Yamaha RXZ Catalyzer original tahun 2009 dan ada sedikit komponen motosikal yang perlu dibaikpulih semula.
Kami difahamkan pemilik RXZ berkenaan sudah pun memiliki motosikal lain sebelum dia bersetuju untuk urusan ini.
Mengikut penilaian kami, helmet dan motosikal adalah sama nilaian dari segi harga antara satu sama lain. Cuma penurunan atau penambahan harga adalah bergantung kepada penjual dan pembeli itu sendiri.
Begitulah kejamnya dunia pemotoran hari ini tuan-tuan.