Salah satu kereta perlumbaan milik diktator Itali, Benito Mussolini akan menjalani proses pemulihan semula (restore). Kereta lama yang sudah berkarat tersebut ialah Alfa Romeo 6C 1750 yang dibuat pada tahun 1930.
Kereta dengan nombor casis 6C312898 dimiliki oleh Mussolini pada 13 Januari 1930. Gambar Mussolini berada di kereta itu masih disimpan sehingga hari ini.
Pada masa tersebut, Mussolini membelanjakan sebanyak 60,000 Lira (RM41,427) untuk memilikinya. Alfa Romeo 6C 1750 ini digunakaan olehnya untuk menyertai acara perlumbaan di Itali pada awal 1930-an, sebelum Mussolini menjadi tokoh politik yang terkenal di seluruh dunia.
Kereta itu telah beralih pemilik beberapa kali sehingga akhirnya menjadi milik Renato Tigillo pada tahun 1937. Tigillo kemudian membawa kereta itu ke Eritrea, sebuah negara gabungan Itali, Somalia dan Ethiopia pada masa itu.
Keadaan kereta kini sangat berbeza dengan bentuk asalnya. Sesetengah komponen telah dikeluarkan, seperti fender, lampu, cermin, dan lain-lain. Hal ini dilakukan untuk mengurangkan beban supaya jentera ini dapat bergerak dengan lebih cepat di litar perlumbaan.
Tidak ada penjelasan terperinci mengenai kisah kereta ini selepas ia tidak lagi digunakan untuk perlumbaan. Juga bagaimana kereta ini boleh jatuh ke tangan bengkel pemulihan di England, iaitu Thornley Kelham.
Pengasas Thornlet Kelham, Simon Thornley berkata beliau akan menghadapi cabaran yang besar untuk mengembalikan semula rupa kereta itu sebagaimana pertama kali dibeli oleh Mussolini. Walaupun demikian, Thornley akan berusaha untuk menghidupkan semula kereta bersejarah itu.
“Sejarah automotif seperti ini mesti dipelihara,” katanya.