Dianggarkan hampir 7,000 orang pengunjung telah membanjiri The Showcase yang berlangsung selama 2 hari bermula dari 29 Februari sehingga 1 Mac 2020.
Acara anjuran Galeri Kereta dan Super Rocket itu disokong oleh Motonation, serta hasil kerjasama Asia GT Festival dan MIECC.
The Showcase yang berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa MINES juga telah menghimpunkan sebanyak 300 buah jentera modifikasi dari pelbagai konsep dan tema antaranya; widebody, konsep perlumbaan, USDM, JDM, MDM, K-car, stance, dan pelbagai lagi.
Pelbagai pengisian telah diatur untuk disajikan kepada peserta dan pengunjung yang hadir. Ini termasuklah pelancaran pasukan lumba Estrada Pulzar, perlumbaan simulator oleh Asia GT Festival, sesi bual bicara bersama penganjur Art Of Speed Malaysia – Encik Asep Ahmad, Penganjur Terpadu 2020 – Encik Suzaimi Ahmad, Peganjur Retro Havoc & Drive For Paul Malaysia – Encik Alie Kouppa, Penganjur Super GT Malaysia – Encik Fahrizal Hasan, booth-booth jualan dari pelbagai syarikat-syarika automotif dan pameran dari MARii.
Pengunjung juga turut disajikan dengan persembahan drift oleh pasukan Westlake dengan aksi-aksi yang cukup mengujakan di hadapan pintu masuk MIECC.
Bagi menghargai pengungjung yang hadir, sesi cabutan bertuah juga diadakan dimana hadiah yang cukup lumayan ditawarkan kepada yang bertuah.
Jumlah hadiah keseluruhan mencecah RM20,000 tajaan Carroof Motorsports, Sapok Tembo, Dodomat Malaysia, FrontWheel Bastard dan beberapa pihak lagi.
Menurut penganjur The Showcase 2020, Encik Aulia Rahman Arsad (Galeri Kereta) dan Mohd Firdaus atau lebih dikenali sebagai Along (Super Rocket), “Walaupun perancangan kami tak sampai 2 bulan dengan modal yang tidak besar, tetapi dengan hati yang besar kami cuba buat yang terbaik dan alhamdulillah semuanya dipermudahkan.
“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peserta, pengunjung dan krew yang bertugas.”
Jemput cuci mata anda dengan galeri kami dari acara itu. Gaya modifikasi mana yang kena dengan jiwa anda? Ada jentera-jentera di sini yang anda kenal pemiliknya?
Gambar dan info oleh: Raziman SiPico