Pembatalan acara Geneva Motor Show 2020 tidak menghentikan Renault daripada melancarkan kereta konsepnya yang baru. Diberi nama Renault Morphoz, model ini merupakan kenderaan elektrik masa depan syarikat tersebut.
Jentera ini berbentuk crossover, atau lebih kepada gabungan sebuah SUV, sedan dan coupe empat pintu. Ianya dicipta berdasarkan pada platform elektrik modular CMF-EV, yang membolehkan beberapa konfigurasi kuasa, kapasiti dan julat yang berbeza digunakan.
Morphoz dapat mengubah dimensi fizikalnya dan berubah menjadi dua mod iaitu City dan Travel, dimana mod ini boleh mengubah panjang wheelbase jentera ini. Renault juga mengatakan konsep ini menyediakan “penyesuaian peribadi untuk keperluan, keinginan dan kegunaan setiap orang”.
Apa yang anda perlu lakukan untuk membuka pintu jentera ini ialah melalui imbasan tangan dan muka yang terletak pada tiang B.
Sebaik sahaja anda berada di dalam kereta, anda boleh mengkonfigurasi susun atur kerusi kereta untuk lebih menyesuaikan diri dengan keperluan perjalanan anda yang seterusnya. Ruangan dalam jentera ini dibina menggunakan bahan kitar semula.
Konsep ini dilengkapi dengan teknologi yang membolehkannya menawarkan Tahap 3 pemanduan autonomi.
Pemandu boleh melepaskan stereng dan menyerahkan kendalian kenderaan kepada sistem pemanduan automatik dalam beberapa keadaan yang ditentukan dan di jalan yang dibenarkan, seperti jalan raya atau dalam kesesakan lalu lintas.
Akan tetapi, ia masih memerlukan pemandu untuk dapat mengawal semula kenderaan dalam beberapa saat sekiranya berlaku keadaan bahaya yang berpotensi.
Dalam ‘City Mode‘, jentera ini dikuasakan oleh bateri yang akan menghasilkan 134hp untuk menempuh jarak perjalanan sejauh 399km. Untuk ‘Travel Mode‘, Renault Morphoz akan menghasilkan 214hp dan mempunyai jarak perjalanan maksimum sejauh 700km.
Perbezaan prestasi dalam kedua mod ini berlaku kerana ‘Travel Mode‘ jentera ini boleh disertakan dengan bateri tambahan.