Malindo Air mengarahkan kakitangannya untuk mengambil cuti dua minggu tanpa gaji dan potongan gaji 50 peratus susulan epidemik COVID-19 yang menjejaskan permintaan terhadap perkhidmatan penerbangan serta industri lebih luas.
Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Kapten Mushafiz Mustafa Bakri, berkata Malindo Air telah melaksanakan beberapa langkah untuk menghadapi kekurangan pendapatan.
Beliau berkata, ia termasuk menggantung penerbangan, merayu pembekal untuk penangguhan bayaran dan meminta kakitangan mengambil cuti tanpa gaji secara sukarela.
“Dengan hati yang berat, tanpa banyak lagi pilihan kukuh, kami kini tiada pilihan selain meminta anda masing-masing mengambil potongan hingga 50 peratus daripada gaji asas anda untuk beberapa bulan akan datang sehingga keadaan kembali normal,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada potongan gaji itu, kakitangan diminta mengurangkan bilangan hari bekerja mereka hingga 15 hari sebulan.
Setakat ini, Malindo Air belum memberikan maklum balas kepada permintaan untuk mendapatkan komen berhubung perkara itu.