Valtteri Bottas “demo” satu pusingan di litar Albert Park sambil tutup mata

1369

“Alah bisa tegal biasa” atau “practice makes perfect” ialah pepatah yang menggambarkan melakukan sesuatu perkara hingga menjadi kebiasaan. Tetapi bagi pemandu F1, mungkin mereka melakukan perkara itu hingga boleh lakukannya sambil menutup mata.

Jentera perlumbaa Formula 1 hari ini mempunyai begitu banyak tetapan yang boleh dilaras sambil memandu, yang juara dunia F1 empat kali, Sebastian Vettel, juga berkata ianya seperti komputer dan “sangat rumit”.



Bagi membolehkan mereka melaras tetapan ini sambil memandu dengan pedal penuh ke lantai, pemandu F1 menggunakan pengalaman bertahun-tahun dan ratusan jam di simulator untuk benar-benar menghafal sesebuah litar itu. Malah, litar terpahat dalam ingatan mereka hingga mereka boleh “memandu” sambil memejam mata ibaratnya.

Sebagai satu demonstrasi kemahiran itu, pemandu F1 Mercedes-AMG Petronas, Valtteri Bottas membawa kita “menjadi pemandu” di litar Albert Park di Melbourne, Australia.

Tetapi dia tidak duduk di kerusi jentera sebenar, sebaliknya duduk di atas dua kerusi, dalam sebuah bilik, bertemankan imaginasi.

Bermula dari jalan lurus, Bottas “melalui” setiap selekoh dengan input stereng bayangan yang tepat. Pada masa yang sama, beliau menerangkan karakter permukaan litar, selekoh dan situasi kereta itu sendiri.

Sebagi contoh, Bottas membelok keluar dari selekoh 10, kereta biasanya oversteer dan tergelincir sedikit ke luar selekoh menghampiri dinding tepi litar.

Dia juga mengingati di kawasan mana permukaan litar itu beralun (bumpy), seperti di kawasan membrek memasuki selekoh 13. Ia sekaligus memberi peringatan kepadanya untuk lebih berwaspada semasa membrek di situ.

Bottas mengakhiri pusingan litar itu dengan genggaman tangan di udara, dengan mesej radio “to whom it may concern”. Ia mesej yang sama dengan kemenangannya di litar itu semasa Grand Prix Australia 2019.

Musim baharu Formula 1 2020 akan bermula hujung minggu ini di Australia, jika semuanya mengikut perancangan. Beberapa acara permotoran antarabangsa seperti MotoGP di Qatar telah dibatalkan kerana penyebaran wabak virus COVID-19.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here