Status darurat telah diisytiharkan di beberapa negara disebabkan oleh penyebaran virus Corona yang tidak terkawal. Keadaan ini menjejaskan pelbagai aktiviti, termasuk beberapa siri perlumbaan Formula 1 2020 yang dirancang akan bermula pada bulan Mei 2020.
Seperti yang diumumkan di laman web Formula 1, GP Belanda dan Sepanyol kini ditangguhkan, sementara GP Monaco telah dibatalkan.
Musim ini merupakan musim kembalinya GP di Belanda dalam Formula 1, sejak kali terakhir kemunculannya pada tahun 1985. Sepatutnya, GP Belanda ini akan diadakan di Zandvoort pada 1-3 Mei 2020.
Seminggu kemudian barulah GP Sepanyol akan berlangsung iaitu pada 8-10 Mei diikuti GP Monaco yang diadakan pada 21-24 Mei 2020.
Satu kenyataan mengatakan: “Formula 1, FIA dan ketiga-tiga penganjur telah mengambil keputusan ini untuk memastikan kesihatan dan keselamatan kakitangan, peserta kejohanan dan peminat, yang masih menjadi perhatian utama kami.”
Sekarang semua pihak sedang mencari alternatif baru untuk jadual perlumbaan GP Belanda dan Sepanyol yang mungkin akan diadakan pada akhir tahun ini. Musim 2020 akan bermula secepat mungkin apabila keadaan kesihatan global semakin pulih.
Untuk maklumat, setakat ini terdapat 2,460 kes virus Corona yang berlaku di Belanda. Sedangkan di Sepanyol, kes ini telah mencapai 17,147 kes dan 9 kes telah direkodkan berlaku di Monaco.