Polis menafikan laluan di Plaza Tol Duta arah utara ditutup sebaliknya pasukan keselamatan itu hanya sekadar membuat sekatan jalan dan pemeriksaan terhadap pengguna jalan raya mengikut Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, berkata hanya pengguna jalan raya yang memberikan alasan munasabah dibenarkan melalui laluan di Plaza Tol Duta, manakala yang lain dinasihatkan patah balik pulang ke rumah.
“Tak ditutup (jalan di plaza tol itu). Kita buat sekatan jalan untuk tapisan, pemeriksaan arahan PKP.
“Hanya membenarkan kenderaan yang perlu sahaja (alasan munasabah). Lain-lain dinasihatkan duduk rumah, tiada pergerakan atau berpatah balik,” katanya.