Enam individu ditahan pihak polis selepas didapati berkumpul untuk mengadakan majlis sambutan hari lahir ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Laman Tun Sri Lanang, Jalan Niaga di Kota Tinggi, petang semalam.
Laporan Harian Metro, Dalam kejadian 5.30 petang tadi, semua individu berusia lingkungan 20-an itu ditahan sepasukan Task Force Covid-19 Kota Tinggi ketika menjalankan Rondaan Op Covid-19.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitenden Ashmon Bajah berkata, polis menahan tiga lelaki dan tiga perempuan, selepas didapati melakukan kesalahan tidak mematuhi PKP.
Beliau berkata, ketika anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meronda, kumpulan individu ini bersiap-siap untuk mengadakan majlis sambutan hari lahir.
“Turut dirampas sebuah pembesar suara mudah alih tanpa wayar dipercayai bertujuan memainkan muzik bagi meraikan sambutan hari lahir seorang daripada individu itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahsmon berkata, pihak polis membuka kertas siasatan mengikut Peraturan 7 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.
“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dengan tidak mengendahkan petugas PDRM dan ATM.
“Pihak polis juga giat mengesan seorang lelaki daripada kumpulan berkenaan yang melarikan diri daripada diperiksa,” katanya.